SHAH ALAM – Perpaduan, kesetiaan kepada struktur kepimpinan parti serta pematuhan tatakelakuan merupakan asas penting dalam perjuangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membela kepentingan rakyat.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Wan Dzahanurin Ahmad berkata, sebagai sebuah parti yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Bersatu, setiap proses disiplin perlu dilaksanakan secara telus, adil dan berpandukan peraturan ditetapkan.
Menurutnya, sebarang tindakan disiplin yang diambil seharusnya memberi tumpuan kepada individu yang menjadi punca sebenar ketegangan dalaman parti, dan bukan sekadar menyasarkan pihak tertentu yang bertindak mengikut arahan.
“Pendekatan yang menyeluruh amat penting agar isu sebenar dapat ditangani secara berkesan tanpa menimbulkan perpecahan yang lebih besar dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pihaknya turut mengambil maklum pandangan serta gesaan daripada beberapa pimpinan negeri dan akar umbi yang meminta agar tindakan disiplin sewajarnya diambil terhadap individu tertentu yang didakwa menjadi dalang utama kepada kemelut dalaman parti.
Ujarnya, antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk penglibatan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam percaturan yang didakwa melemahkan kepimpinan parti serta mencetuskan ketidaktentuan organisasi.
Dalam pada itu, Wan Dzahanurin menegaskan bahawa pihaknya menghormati sepenuhnya peranan Lembaga Disiplin Bersatu yang kini sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung aduan yang dikemukakan.
“Sebagai sebuah parti yang matang dan bertanggungjawab, kami berharap setiap ahli, tanpa mengira kedudukan, dapat menghormati proses serta keputusan Lembaga Disiplin yang dijalankan secara telus dan berlandaskan Perlembagaan parti, selain memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penguatkuasaan disiplin dalam parti bukan bertujuan menghukum sesama sendiri, sebaliknya bagi menjaga maruah, integriti dan nama baik Bersatu.
“Langkah ini penting supaya parti dapat terus memberi tumpuan kepada perjuangan sebenar, iaitu membela aspirasi rakyat Malaysia secara harmoni dan berkesan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, Bersatu wajar kekal sebagai sebuah organisasi yang bersatu padu, berdisiplin serta berpegang teguh kepada prinsip perjuangan demi rakyat.
“Sebarang perbalahan dalaman yang tidak terkawal hanya akan merugikan semua pihak dan mengalih perhatian daripada tanggungjawab utama kita sebagai pemimpin serta wakil rakyat,” tambahnya.