SHAH ALAM – Lebih 1,000 individu dari lima rumah kebajikan menerima bantuan menerusi inisiatif tahunan Karnival BB Charity sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Acara dianjurkan bersama KK Mart Retail Group, BB Charity Society dan Malaysia Chinese Assembly Hall (MCAH) yang mana penerima manfaat terdiri daripada warga emas, keluarga ibu atau bapa tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta golongan kurang berkemampuan.
Pengasas dan Pengarah Urusan KK Mart Retail Group merangkap Presiden MCAH, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, program tersebut telah dilaksanakan hampir dua dekad, kecuali pada 2021 ketika pandemik Covid-19.
"Tahun ini merupakan penganjuran kali ke-19, mencerminkan komitmen berterusan penganjur dalam membantu komuniti memerlukan.
"Selain pengagihan makanan, peserta turut menerima pakej barangan penjagaan dan angpau bagi memeriahkan sambutan perayaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, Karnival BB Charity bukan sekadar aktiviti pengagihan, sebaliknya platform bagi menggalakkan hubungan sesama manusia, interaksi dan sokongan agar penerima manfaat rasa ditemani serts dihargai, terutama menjelang musim perayaan.
Menurutnya, lebih 20 organisasi penaja tampil memberi sokongan melibatkan barangan keperluan, sumber, bantuan penyelarasan serta sumbangan perkhidmatan.
"Usaha kolektif ini bukan sahaja meluaskan capaian program, malah memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Fokus utama kekal sama iaitu menyampaikan bantuan dan keprihatinan kepada golongan rentan tanpa mengira kaum atau latar belakang agama.
"BB Charity bukan sekadar pengagihan sumbangan, sebaliknya platform untuk mengeratkan hubungan kemanusiaan dan memastikan penerima rasa dihargai,” ujarnya.