'Pengerusi PN hanya untuk presiden parti, pendirian Bersatu kekal' – Tun Faisal

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat mengenai Pas mengesahkan akan menerajui PN.

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan pendirian mereka berhubung pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) masih tidak berubah iaitu hanya menerima calon dalam kalangan presiden parti komponen gabungan itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pendirian tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 12 Januari lalu dan sehingga kini ia masih kekal.

Iklan
Iklan

“Setakat semakan saya, pendirian Bersatu yang dibuat semasa Mesyuarat MPT pada 12 Januari 2026 masih kekal, iaitu hanya menerima calon Pengerusi PN dalam kalangan presiden parti anggota. Itu belum berubah, begitu juga keputusan-keputusan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal

Iklan

Tun Faisal berkata demikian mengulas mengenai tajuk muka depan Sinar Harian pada Jumaat yang melaporkan Pas mengesahkan hasrat mengambil alih jawatan Pengerusi PN daripada Bersatu tanpa syarat dengan persetujuan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengesahkan perkara itu berkata, ia sudah dipersetujui dalam siri perbincangan kepimpinan tertinggi parti itu bersama Muhyiddin dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung hujung bulan ini.

Iklan

Kekosongan jawatan Pengerusi PN yang masih belum diisi sehingga kini mencetuskan tanda tanya mengenai masa depan gabungan tersebut.

Polemik berterusan turut ‘menggagalkan’ usaha Pas menamakan calon pemimpinnya sebagai pengganti Pengerusi PN apabila agenda Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan pada 29 Januari lalu dibatalkan.

Sebaliknya Muhyiddin mengundang ketua parti komponen utama gabungan itu iaitu Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) bertemu di kediamannya pada 29 Januari.

Bagaimanapun, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak muncul dalam pertemuan berkenaan, sekali gus mencetuskan naratif bibit perpecahan semakin kronik.