KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu sudah mempunyai calon yang akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu akan dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan perlembagaan gabungan itu.
"Calon itu adalah pemimpin tertinggi Pas dan merupakan ahli Parlimen. Apabila Pas memimpin, kita akan tonjolkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tertutup kepada pimpinan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini malam tadi.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, identiti calon berkenaan belum boleh diumumkan buat masa ini kerana pelantikan Pengerusi PN tertakluk kepada keputusan MT PN.
Menurutnya, MT PN adalah badan tertinggi dalam gabungan berkenaan dan semua keputusan penting, termasuk pelantikan pengerusi perlu diputuskan melalui mesyuarat tersebut.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa isu berkaitan pelantikan Pengerusi PN dapat diselesaikan dengan baik.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, usaha mengadakan mesyuarat MT PN masih tertangguh berikutan kekangan jadual melibatkan presiden parti komponen apabila seorang daripada mereka hanya boleh hadir selepas 19 Februari.
"Tarikh tersebut sudah memasuki bulan Ramadan dan berkemungkinan besar mesyuarat akan diadakan dalam bulan puasa," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kelewatan melantik Pengerusi PN bukan isu besar.
"Mengikut jadual asal, mesyuarat MT PN sepatutnya berlangsung pada 29 Januari lalu, namun terpaksa dibatalkan kerana bertindih dengan mesyuarat lain.
“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Pengerusi PN, sepatutnya beliau yang memanggil mesyuarat. Namun beberapa kelewatan berlaku sehingga saya terpaksa mengambil peranan sebagai Timbalan Setiausaha PN bagi menguruskan perkara ini," katanya.