KUALA LUMPUR – Cadangan mengenakan larangan menyeluruh akses media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dikhuatiri memberi kesan tidak seimbang dan lebih memudaratkan golongan kurang bernasib baik.
Pengerusi Parti Progresif Rakyat (MyPPP) Cawangan Tiong Nam, Tan Peng Beng berkata, walaupun usaha melindungi kanak-kanak merupakan kebimbangan yang wajar, pendekatan larangan menyeluruh gagal mengambil kira peranan positif media sosial sebagai medium pendidikan, pendedahan dan peluang kepada kanak-kanak daripada komuniti berpendapatan rendah.
“Berdasarkan pengalaman saya selama bertahun-tahun dalam kerja akar umbi dan kemasyarakatan, saya telah menyaksikan sendiri bagaimana media sosial membantu kanak-kanak kurang bernasib baik mendapatkan akses kepada maklumat, memahami dunia sebenar serta membangunkan kemahiran kreatif dan teknikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai akses kepada buku, kelas tuisyen atau program pengayaan, media sosial sering menjadi platform utama untuk mempelajari kemahiran baharu, meneroka idea serta meluaskan pandangan mereka.
Peng Beng turut mendakwa pendedahan melalui kandungan dalam talian telah membantu sebahagian golongan belia menceburi bidang e-dagang, perkhidmatan digital dan sektor teknologi maklumat (IT) sebagai sumber pendapatan.
“Saya sendiri mengenali golongan belia yang bermula dengan pembelajaran melalui kandungan dalam talian dan kemudian menjadi peniaga kecil e-dagang, pekerja bebas digital atau mendapat pekerjaan dalam industri teknologi maklumat,” katanya.
Mengulas langkah serupa di luar negara, Peng Beng merujuk larangan media sosial bagi bawah umur 16 tahun yang diperkenalkan di Australia, yang menurutnya menerima kritikan daripada pendidik, ahli psikologi dan pejuang hak kanak-kanak.
Katanya, kanak-kanak daripada keluarga berkemampuan lazimnya mempunyai pilihan untuk mengatasi larangan sedemikian, namun golongan kurang bernasib baik berisiko kehilangan akses sepenuhnya.
“Ini hanya akan meluaskan jurang digital, bukannya merapatkannya,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA).
Peng Beng turut memetik kebimbangan organisasi antarabangsa seperti UNICEF dan Amnesty International, yang menurutnya memberi amaran bahawa larangan menyeluruh boleh menjejaskan hak kanak-kanak terhadap maklumat, pendidikan dan kebebasan bersuara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keselamatan kanak-kanak tidak wajar bergantung kepada larangan semata-mata kerana sekatan tersebut mudah dielakkan, selain berpotensi mendorong pengguna muda ke ruang digital yang kurang dikawal selia.
“Melindungi kanak-kanak memerlukan dasar yang lebih bijak dan berasaskan bukti. Ini termasuk pendidikan literasi digital, tanggungjawab platform yang lebih jelas, perlindungan bersesuaian umur serta sokongan kepada ibu bapa,” katanya.
Beliau menggesa pembuat dasar merentasi garis politik supaya menilai semula sebarang langkah ke arah pelaksanaan larangan media sosial bagi bawah umur 16 tahun di Malaysia.
“Melindungi anak-anak kita bermakna mempersiapkan mereka untuk dunia sebenar, bukan memutuskan mereka daripadanya,” katanya.