Yayasan AkalBudi: Mahkamah benar tangguh kes Badan Peguam cabar DNAA Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menangguhkan prosiding semakan kehakiman Badan Peguam, bagi mencabar keputusan pihak pendakwaan menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan diputuskan.

Peguam Datuk Guok Ngek Seong yang mewakili Ahmad Zahid berkata, Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian, semasa prosiding yang dijalankan di dalam kamar.

Iklan
Iklan

"Hakim membenarkan permohonan berkenaan susulan perkembangan yang berlaku di Mahkamah Persekutuan. Tarikh pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan masih belum ditetapkan kerana pihak kami baru sahaja memfailkan notis rayuan iaitu pada 19 Oktober lepas,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

Prosiding turut dihadiri peguam Abhilaash Subramaniam yang mewakili Badan Peguam, Peguam Persekutuan Safiyyah Omar dan Imtiyaz Wizni Aufa Othman mewakili Peguam Negara serta peguam Mohd Shahrul Fazli Kamarulzaman yang bertindak bagi pihak Ahmad Zahid.

Iklan

Pada 8 Oktober, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan Ahmad Zahid dan Peguam Negara, untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam memulakan semakan kehakiman, bagi mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, memutuskan bahawa kes itu menimbulkan isu perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam dan memerlukan penjelasan serta keputusan muktamad oleh Mahkamah Persekutuan.

Iklan

Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023, yang menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman itu dan Ahmad Zahid, yang merupakan responden kedua yang dicadangkan dalam prosiding semakan kehakiman itu, kemudian memfailkan permohonan pada 25 Mei lepas untuk mendapatkan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar pula memfailkan permohonan berasingan untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Badan Peguam memohon deklarasi daripada Mahkamah Tinggi bahawa keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, yang melepaskan dan membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi adalah terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Tinggi membenarkan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) itu, selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding itu terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti-bukti baharu. - Bernama