'The Golden Tigers' identiti baharu skuad sepak takraw negara

Iklan
Skuad sepak takraw negara bergambar bersama pingat emas yang dimenangi selepas berjaya menewaskan Thailand 2-0 dalam acara final regu Sepak Takraw berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Paloma Mizuho Arena, Jumaat. Foto Bernama

KEJAYAAN menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas acara regu berpasukan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bukan sahaja mengembalikan kegemilangan sepak takraw Malaysia, malah memberi identiti baharu kepada skuad negara.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Redzuan mengumumkan skuad negara kini secara rasmi dikenali sebagai ‘The Golden Tigers’, susulan kejayaan menewaskan Thailand 2-0 pada aksi final di Nagoya City Mizuho Arena, pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, idea menggunakan gelaran itu tercetus daripada identiti pasukan kebangsaan dalam beberapa sukan lain, antaranya Harimau Malaya bagi bola sepak dan Speedy Tigers untuk hoki.

Mohd Sumali yang juga Ketua Kontinjen negara berkata, kejayaan di Aichi-Nagoya dilihat sebagai detik tepat untuk skuad sepak takraw negara memiliki gelaran tersendiri yang mudah dikenali dan menjadi simbol pasukan.

Iklan

"Ramai yang bertanya kepada saya sebelum ini, termasuk bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, apakah nama jolokan kepada skuad sepak takraw negara?

"Bola sepak ada gelaran Harimau Malaya, manakala hoki pula dipanggil Speedy Tigers, jadi saya dapat idea dan hari ini kita sepakat memanggil skuad sepak takraw negara dengan nama ‘The Golden Tigers’,” katanya ketika ditemui.

Iklan

Kemenangan itu mengakhiri penantian Malaysia sejak edisi Beijing 1990 untuk kembali meraih emas Sukan Asia dalam acara regu berpasukan lelaki, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara kuasa utama sukan berkenaan di rantau ini.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata, PSM turut meningkatkan ganjaran kepada setiap pemain kepada RM10,000 berbanding RM7,000 sebelum ini sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.

"Ganjaran untuk mereka memang ada, ikut pusingan, tetapi selepas mereka menang tadi, saya rasakan kami patut naikkan ganjaran ini dan semua ahli exco bersetuju,” katanya. - Bernama