Jersi Messi lebih laku, mahal berbanding jersi Ronaldo

Iklan
Jersi Messi yang dijual dengan harga tinggi dalam satu acara lelongan koleksi peribadi legenda Chelsea, John Terry, baru-baru ini.

JERSI lama milik Lionel Messi berjaya dijual pada harga lebih tinggi berbanding jersi Cristiano Ronaldo dalam satu acara lelongan koleksi peribadi legenda Chelsea, John Terry, baru-baru ini.

Dalam lelongan tersebut, Terry dilaporkan melepaskan lebih 50 barangan berharga sepanjang kariernya dengan jumlah kutipan keseluruhan mencecah lebih AS$695,000 (RM2.73 juta).

Iklan
Iklan

Difahamkan, sebahagian daripada hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada Yayasan John Terry.

Tumpuan utama bidaan terarah kepada 'pertembungan' barangan milik dua pemain terbaik generasi ini iaitu Messi dan Ronaldo.

Iklan

Menurut laporan ESPN, jersi yang dipakai Messi ketika aksi Liga Juara-Juara (UCL) 2006 antara Chelsea dan Barcelona menjadi rebutan paling mahal apabila terjual pada harga AS$183,000 (RM721,386).

Nilai tersebut jauh meninggalkan harga jersi Ronaldo ketika mewakili Manchester United yang dijual pada harga AS$115,900 (RM456,877).

Iklan

Mengulas mengenai jersi Messi itu, Terry menerusi satu hantaran di Instagram menyifatkan ia sebagai koleksi yang sangat istimewa.

"Ini adalah jersi yang sangat istimewa, ia daripada satu-satunya Lionel Messi ketika dia bermain di Stamford Bridge.

"Ia jersi kit oren yang jarang mereka pakai, jadi ia sangat unik. Disebabkan saya seorang pertahanan dan dia penyerang, kami sering berada dekat antara satu sama lain sepanjang perlawanan.

"Apabila permainan berbaki satu atau dua minit, saya sengaja merapatkan diri dengannya semata-mata mahu mendapatkan jersinya selepas tamat perlawanan," jelas Terry.

Jualan tersebut menjadikan jersi Messi itu sebagai jersi bola sepak keempat termahal di dunia, mengatasi rekod jersi Geoff Hurst dari final Piala Dunia 1966 yang bernilai AS$116,000 (RM457,272).

Selain dua bintang tersebut, lelongan yang dikendalikan oleh rumah lelongan Amerika Syarikat, Goldin itu turut menyaksikan jersi legenda Arsenal, Thierry Henry menjadi tumpuan.

Jersi yang dipakai Henry ketika kemenangan 2-1 Arsenal ke atas The Blues pada Oktober 2003 (musim Invincibles) telah dijual pada harga AS$93,820 (RM369,838) yang turut disertakan dengan tandatangan serta mesej:"Kepada John, teruskan usaha yang baik."

Para pembida juga berpeluang memiliki jersi milik legenda bola sepak lain termasuk Frank Lampard, Steven Gerrard, Paolo Maldini, Cesc Fabregas, Ashley Cole, Gianfranco Zola, Samuel Eto'o dan Rio Ferdinand.