Empat fokus utama pacu Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2026–2030

Iklan
Datuk Seri Tiong King Sing ketika menghadiri majlis pembukaan ASEAN Tourism Forum 2026 di Cebu, Filipina.

CEBU, Filipina - Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) 2026–2030 memerlukan tumpuan jelas terhadap empat fokus utama bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar memperkukuh ekosistem pelancongan serantau secara mampan, inklusif dan berdaya tahan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, anggota ASEAN harus memfokuskan perkongsian pengetahuan dan pengalaman melalui pelbagai platform.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ASEAN Tourism Resources Management and Development Network sebagai contoh dapat berfungsi sebagai medium pertukaran amalan terbaik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti dalam industri pelancongan.

"Anggota ASEAN juga harus memperluas projek bersama dan rentas sempadan termasuk inisiatif seperti projek Pelancongan Pandu Sendiri ASEAN Malaysia–Thailand dan ASEAN Heritage Train.

Iklan

"Inisiatif tersebut mampu meningkatkan kesalinghubungan destinasi, merancakkan pergerakan pelancong serta memperkukuh integrasi pelancongan ASEAN," katanya.

King Sing berkata demikian ketika menghadiri majlis pembukaan ASEAN Tourism Forum 2026 di Cebu, Filipina bersama rakan sejawat dari seluruh rantau.

Iklan

Tambah beliau, penambahbaikan pengumpulan data dan sistem pemantauan bagi membolehkan penggubalan dasar dan keputusan strategik perlu dibuat secara lebih tepat, berasaskan bukti serta berorientasikan masa hadapan.

"Fokus keempat adalah memperkukuh penglibatan sektor swasta memandangkan komuniti perniagaan merupakan pemacu utama pelaburan dan inovasi.

"Kerjasama lebih erat antara pemain industri pelancongan ASEAN diyakini mampu memberi manfaat menyeluruh kepada rantau ini serta meningkatkan daya saing ASEAN sebagai destinasi global," katanya.

Dalam pada itu, King Sing berkata, Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap ATSP 2026–2030 yang memberi hala tuju jelas kepada ASEAN dalam memperkukuh sektor pelancongan serta membuat persiapan menghadapi cabaran masa depan.

"Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN untuk menterjemahkan pelan strategik itu kepada tindakan konkrit di peringkat serantau. Bagi Malaysia, kemampanan bukan sekadar penting, malah satu keperluan

"ATSP selari dengan Dasar Pelancongan Negara, khususnya dalam aspek pelancongan mampan yang menekankan pemeliharaan alam sekitar dan budaya, selain memastikan manfaat sebenar dapat dinikmati oleh komuniti setempat,” katanya.

Selain itu, Tiong berkata, Malaysia akan menyumbang secara aktif kepada inisiatif ATSP yang melibatkan pembangunan destinasi mampan, piawaian pelancongan hijau serta pelancongan berasaskan komuniti.

"Kejayaan ATSP bergantung kepada perkongsian kukuh dan kesatuan ASEAN, termasuk usaha mempertingkatkan kesalinghubungan, infrastruktur serta mempromosikan ASEAN sebagai satu destinasi bersepadu bagi menjadikan perjalanan merentasi rantau ini lebih mudah, lancar dan menarik.

“Bersama-sama, kita boleh membina sektor pelancongan yang mampan, inklusif dan berdaya tahan untuk masa depan,” katanya.