GEORGE TOWN – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, semua maklumat yang diperlukan telah dan sedang disalurkan kepada pihak SPRM bagi membantu siasatan berkenaan.
“MAINPP dan Zakat MAINPP memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan segala maklumat yang diminta telah diberikan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berkata demikian ketika mengulas perkembangan siasatan berhubung dana zakat.
Terdahulu, SPRM Pulau Pinang telah membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada hujung tahun lalu.
Pada Ahad lalu, aktivis Pembela Tanah Air (Peta), Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin berkongsi kenyataan seorang penyelaras Peta, Azam Melaka berkaitan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.
Susulan daripada itu, MAINPP menafikan tohmahan tersebut dan tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah berkaitan isu bantuan khas asnaf serta perolehan tanah seperti yang tular di media sosial.
Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, dakwaan, polemik dan fitnah yang ditularkan terutama mengaitkan Mohamad dalam isu berkenaan dilihat berniat jahat untuk menjejaskan imej institusi MAINPP.
Beliau juga menolak sekeras-kerasnya tohmahan terhadap Mohamad dan menegaskan institusi tersebut tiada sebarang kepentingan dalam kedua-dua isu yang ditularkan.