SEREMBAN - Penolong Pegawai Tadbir Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak perkhidmatan bagi syarikat menantunya.
Tertuduh, Hamiza Hasnin, 53 membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Kanageswari selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam (UKPA) MPPD, telah menggunakan kedudukannya untuk suapan kontrak perkhidmatan antaranya kerja pembekalan makan dan minum, pembekalan baju untuk program serta pembekalan bahan promosi yang melibatkan jumlah keseluruhan RM39,170 untuk syarikat milik menantunya.
Tertuduh telah mencadangkan sebut harga syarikat terbabit sebagai pembekal bagi perkhidmatan tersebut kepada Bahagian Perolehan, Pengurısan Aset dan Stor MPPD.
Selain itu, tertuduh turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM8,141 untuk dirinya sendiri dengan mencadangkan sebut harga syarikat menantunya sebagai pembekal bagi kerja pembekalan dan menghantar keperluan bahan promosi Program Surfcasting MPPD 2023 di Pantai Saujana dan Pantai Bagan Pinang berjumlah RM8,570.
Perbuatan tersebut dilakukan antara 23 Jun 2022 hingga Mac 2024 di pejabat MPPD.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1)Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1)akta yang sama.
Sabit kesalahan di bawah Seksyen 24(1), boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan.
Peguam, Shaharuddin Mohamed memohon jaminan minimum kerana pendapatan anak guamnya hanya RM4,000 dan perlu menanggung seorang anak yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia selain tiada sumber kewangan lain.
Ujarnya, tertuduh turut memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dan tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan sorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes 13 Mac depan.