KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik kedai barangan mainan, basikal dan skuter elektrik di Kampung Simpang Tok Ku di sini kerugian hampir RM1 juta selepas premis yang diusahakan sejak lima tahun lepas musnah dalam kebakaran malam tadi.
Pengurus kedai tersebut Maya Suhaidi, 40, berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 7.40 malam itu menyebabkan semua barangan dalam kedai termasuk wang tunai hasil jualan harian kira-kira RM10,000 hangus.
Iklan
Iklan
Maya berkata, ketika kejadian, dia bersama 10 pekerja berada dalam bangunan dua tingkat itu sebelum terhidu asap dari bahagian belakang kedai.
"Saya segera memeriksa punca asap dan mendapati terdapat api berdekatan surau perempuan. Selepas membuat panggilan kecemasan, saya terus mengarahkan pekerja keluar kerana asap semakin tebal.
"Ketika kejadian pemilik kedai tiada kerana menguruskan cawangan di Kuala Berang," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Thoyyibah Taib berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.49 malam sebelum 24 anggota berserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota digerakkan ke lokasi kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah kedai permainan kanak-kanak dua tingkat jenis kekal yang terbakar 50 peratus di bahagian bawah. Usaha memadam kebakaran mengambil masa hampir setengah jam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi. - Bernama