Dron bongkar taktik sembunyi atas bumbung, 218 warga asing ditahan

Iklan
Seorang lelaki warga asing bersembunyi di atas bumbung.

KUALA LUMPUR - Seramai 15 warga asing ditahan selepas cubaan mereka melarikan diri dan bersembunyi di atas bumbung dikesan melalui pemantauan dron Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Sapu Bersepadu di sebuah pusat komersial di Taman Emas di sini pada Khamis.

Dalam serbuan yang bermula jam 7 malam, seorang wanita warga asing yang bersembunyi di atas bumbung terjatuh selepas menembusi siling dan hampir menghempap beberapa pegawai Imigresen yang sedang menjalankan pemeriksaan di dalam premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Dalam operasi itu, beberapa warga asing dilihat lari bertempiaran sebaik menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa.

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi di Taman Emas pada Khamis.

Iklan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, penggunaan teknologi dron membantu mengesan cubaan warga asing bersembunyi di atas bumbung premis berkenaan.

“Kita mendapati bahagian bawah premis berkenaan menempatkan kedai, manakala tingkat atas merupakan tempat tinggal warga asing,” katanya.

Iklan

Lokman berkata, seramai 279 pegawai Imigresen dan 10 pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara terlibat dalam operasi tersebut.

“Kita telah membuat pemeriksaan ke atas lebih daripada 1,000 individu termasuk warga tempatan. Daripada jumlah itu, seramai 218 warga asing telah ditahan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 166 lelaki dan 52 wanita. Warga asing itu berasal dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka dan Nigeria.

“Kita percaya mereka melakukan pelbagai kesalahan imigresen antaranya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta menyalahgunakan pas,” katanya.

Lokman sedang menyoal siasat warga asing yang ditahan.

Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil risikan selama kira-kira dua minggu selain maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan lanjut dan tindakan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Lokman menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati melanggar peraturan,” ujarnya.