Tapak pembinaan digempur, 30 warga asing ditahan

Iklan
Daripada 63 pekerja warga asing yang diperiksa, 30 daripadanya didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri serta permit kerja yang sah. Foto ihsan polis

SEREMBAN - Seramai 30 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah tapak pembinaan di kawasan Nilai, pada Rabu.

Operasi yang dinamakan Op Pintas Mega itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai sekitar jam 1 tengah hari.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seramai 63 warga asing yang bekerja dalam sektor pembinaan di lokasi itu telah diperiksa dan sebahagian daripadanya gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

"Seramai 30 lelaki terdiri daripada 21 warga China, dua warga Bangladesh dan tujuh warga Myanmar didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri serta permit kerja yang sah.

Iklan

"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Nilai untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, saringan awal berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 mendapati, tiada unsur pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.

Iklan

Beliau berkata, usaha mengesan majikan dan pihak yang bertanggungjawab giat dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.