Kakitangan sementara ditahan kes jual pas palsu MotoGP Malaysia

Iklan
Seorang kakitangan sementara yang disyaki terbabit dalam penjualan pas palsu MotoGP Malaysia 2026 ditahan polis pada Sabtu. Foto tular

SEPANG - Seorang kakitangan sementara yang disyaki terbabit dalam penjualan pas palsu Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2026 ditahan polis pada Sabtu, menurut Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

SIC dalam kenyataan pada Ahad, memaklumkan penahanan itu susulan siasatan dalaman dengan kerjasama polis, manakala tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan yang diambil bekerja sebagai kakitangan sementara khusus untuk acara itu sedang berjalan.

Iklan
Iklan

"Bertentangan dengan khabar angin yang tersebar dalam talian, individu yang terlibat bukan Aqil. Suspek merupakan kakitangan sementara yang diambil bekerja khusus untuk acara ini,” menurut kenyataan itu.

Pengurusan litar itu memaklumkan pas berkenaan tidak pernah diluluskan untuk dikeluarkan atau dijual kerana pas acara hanya diperuntukkan kepada petugas acara yang diberi kuasa dan tidak ditawarkan kepada orang awam untuk pembelian.

Iklan

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli tiket atau pas daripada penjual di media sosial, ulat tiket atau sumber tidak rasmi lain bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan pas palsu.

SIC memaklumkan semua tiket bagi perlumbaan MotoGP Malaysia hanya boleh dibeli menerusi laman sesawang rasminya di www.sepangcircuit.com.

Iklan

Isu itu tular di media sosial semalam susulan dakwaan bahawa pas Perdana Suite palsu bagi perlumbaan MotoGP Malaysia dijual pada harga RM250 di pintu masuk litar.

Beberapa hantaran di media sosial mendedahkan penipuan itu, dengan seorang pengguna mendakwa telah membeli"pas Perdana Suite” pada harga RM230 kerana menyangka tawaran itu sahih. - Bernama