Persatu UUM mohon tangguh bayaran pinjaman perumahan kakitangan awam

Iklan
Rusdi Omar

SHAH ALAM - Persatuan Akademia Universiti Utara Malaysia (Persatu UUM) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk meringankan beban penjawat awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama menjadikan kakitangan awam sebagai jentera ekonomi bagi suntikan tunai kepada negara.

Presidennya, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, langkah tersebut dapat dicapai dengan penyediaan lebih tunai yang boleh digunakan oleh kakitangan awam dengan mengaplikasikan langkah penangguhan kutipan ansuran bulanan (moratorium) secara potongan gaji oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di bawah Perbendaharaan.

Iklan
Iklan

"Ia sama seperti langkah kerajaan mengarahkan sektor perbankan yang memberi moratorium ansuran pembiayaan keseluruhan di sektor bank, maka bagi penjawat awam adalah juga wajar bagi LPPSA melakukan sedemikian sepertimana dilaksanakan oleh pihak bank.

"Kesan Covid-19 ke atas rakyat termasuk penjawat awam besar sekali. Sekiranya kerajaan tahu bahawa penjawat awam kebanyakannya tiada simpanan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), maka pengeluaran simpanan RM500 di KWSP sudah pasti tidak dapat dilakukan oleh mereka. Justeru, akibat dari potongan ansuran perumahan LPPSA juga, penjawat awam menghadapi kadar potongan ke atas gaji yang agak tinggi secara bulanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, sekiranya kerajaan mempertimbangkan untuk menangguhkan ansuran LPPSA, ia akan meringankan bebanan penjawat awam di saat negara berdepan dengan krisis ekonomi yang bakal meninggalkan kesan akibat Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

"Jika LPPSA bertindak menangguhkan ansuran bulanan tersebut, pasti wang yang ada boleh digunakan penjawat awam bagi merancakkan sektor ekonomi domestik untuk memacu pertumbuhan pasaran Malaysia ketika berhadapan krisis. Ini merupakan satu rangsangan ekonomi isi rumah yang diperlukan penjawat awam.

Iklan

"Hampir 1.7 juta penjawat awam akan terkesan secara positif sekiranya kerajaan dapat membantu melalui LPPSA untuk melaksanakan moratorium pembiayaan tersebut dan ini boleh memberi kelegaan dalam kalangan kakitangan awam," katanya.