KUALA LUMPUR – Tiga lelaki termasuk seorang warga asing diberkas selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah masuk sebuah pejabat di Jalan Pudu Ulu di sini pada Isnin
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kejadian itu disedari apabila seorang lelaki warga tempatan mendapati premis tersebut telah dipecah masuk melalui siling bumbung pada jam 7 pagi.
"Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barangan elektrik milik pejabat telah dilarikan dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM18,500," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Rosdi berkata, bertindak atas laporan, pihak polis menjalankan siasatan sebelum melakukan beberapa siri tangkapan pada jam 2 pagi keesokan harinya di Ampang dan Cheras.
“Tiga suspek terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 24 hingga 54 tahun berjaya ditahan,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
"Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan beberapa barangan elektrik yang dicuri seperti pencetak dan projektor berjaya dirampas," katanya.
Tambahnya, permohonan reman terhadap semua suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat bagi membantu siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.