KOTA BHARU – Kerajaan sedia meneliti dan mengkaji semula pelaksanaan tawaran diskaun yang sebelum ini diberikan kepada pemandu van persendirian Thailand susulan dakwaan ia menjadi punca lambakan serta salah laku jalan raya melibatkan kenderaan dari negara jiran itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya akan mempertimbangkan semula dasar tersebut sekiranya sekirnya kadar kompaun sedia ada tidak efektif.
“Kerajaan menyedari isu lambakan kenderaan asing khususnya dari Thailand yang dilaporkan berlaku di Kedah, Kelantan, Perak dan Perlis.
“Walaupun dasar pengurangan kompaun kepada separuh kadar asal bagi pembayaran awal masih kekal, namun keberkesanannya terhadap kenderaan asing akan dikaji semula, khususnya melibatkan aspek pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa pengurangan kadar kompaun daripada RM300 kepada RM150 didakwa mendorong peningkatan kemasukan kenderaan Thailand sehingga ada pihak didakwa mampu meraih keuntungan mencecah RM30,000 sebulan.
Sebelum itu beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.
Anthony bagaimanapun menjelaskan, setakat ini tiada sebarang keputusan dasar dibuat, termasuk cadangan menaikkan kadar kompaun khusus kepada kenderaan asing.
“Saya belum buat sebarang keputusan dasar dalam perkara ini. Kita akan bincang terlebih dahulu dengan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk melihat apa yang perlu dilaksanakan dan sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan sedia ada,” katanya.
Beliau menegaskan, sebarang penelitian semula yang dibuat bukan bermaksud kerajaan membuat pusingan U atau mengubah dasar sedia ada.
“Dasar asas masih kekal iaitu pembayaran awal membolehkan kompaun dibayar pada separuh kadar. Namun, bagi kenderaan asing yang dikenal pasti menimbulkan masalah, kita perlu lihat semula pelaksanaannya,” katanya.
Tambah beliau, sebarang langkah yang diambil kelak akan dibuat secara berhati-hati agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang pemandu van persendirian Thailand mampu memperoleh pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil daripada membawa pekerja tomyam keluar masuk dari Thailand ke Malaysia.
Menurut Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, sebuah van boleh membawa lapan hingga 10 penumpang dalam satu masa yang mana bayaran yang dikenakan sekitar RM70 hingga RM150 seorang.
Katanya, setiap van melakukan pekerjaan terbabit sekitar tiga hingga lima perjalanan setiap minggu dengan membawa penumpang dari sempadan Malaysia-Thailand ke Lembah Klang sehingga Johor.
Tambahnya, kesemua pemandu van berkenaan sudah mempunyai penumpang tetap yang mana pihaknya menganggarkan kira-kira 1,000 buah van persendirian Thailand aktif berbuat demikian menggunakan tiga pintu masuk Malaysia-Thailand di Kedah, Kelantan dan Perak.