ALOR SETAR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung kebakaran di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar, dekat Baling, yang berlaku pada malam Selasa.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, berkata, maklumat mengenai kebakaran itu diterima pihaknya melalui hebahan media cetak dan elektronik.
Menurutnya, satu pasukan dari Cawangan Kulim dihantar ke lokasi bagi pemeriksaan dan mendapati api masih marak manakala longgokan sampah dan plastik dibuang secara haram dijumpai di tapak tersebut.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Bagi kes tapak pelupusan haram, siasatan akan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya pada Rabu.
Jelas beliau, pembakaran terbuka di tapak pelupusan haram adalah kesalahan di bawah Seksyen 29A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
"Denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan dilakukan juga boleh dikenakan selepas notis diserahkan, atau kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum," ujarnya.
Sharifah Zakiah Syed turut menekankan bahawa pemilik tanah bertanggungjawab memastikan kawasan mereka tidak dijadikan tapak pelupusan haram dan menghalang pembakaran terbuka.
Menurutnya, pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan berkaitan.