SHAH ALAM - Pihak yang membongkar, membuat laporan, menegur atau mengkritik pencerobohan tanah serta binaan sembahan haram yang tidak mengikut proses undang-undang tidak sepatutnya dilayan seperti penjenayah.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, jika kenyataan mereka perlu direkodkan, proses perundangan yang betul tanpa sebarang intimidasi perlu dilakukan tanpa sebarang penahanan atau rampasan sehingga permohonan reman.
"Kami amat terkesan dan mengambil perhatian serius mengenai perkembangan terkini apabila dilaporkan beberapa aktivis yang mendedah dan mempersoal aktiviti pencerobohan tanah serta pembinaan sembahan haram telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa melalui rampasan telefon bimbit, ditahan, kononnya bagi membantu siasatan.
"Penahanan dan rampasan sebegini, jika berterusan dan berleluasa akan memberikan impak negatif terhadap kepercayaan rakyat ke atas kedaulatan undang-undang negara, integriti dan kebebasan pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.
"Ia kelihatan seolah-olah sengaja menggunakan taktik intimidasi dan menakutkan orang awam daripada membongkar kejadian pencerobohan tanah dan binaan sembahan haram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, PPMM dimaklumkan bahawa pada Selasa dua orang aktivis telah diambil tindakan membabitkan aktivis Tanah Malaya, Tamim Dahri telah disiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta telefonnya dirampas.
"Seorang lagi aktivis dari Randuk Malaysia dan Pengerusi Pertubuhan Pemerkasaan Identiti Malaysia (IDENTITI), Islah Wahyudi ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang dan polis memohon reman ke atasnya di Mahkamah Sepang Rabu.
"Majistret bagaimanapun telah menolak permohonan reman oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan memerintahkan pihak polis melepaskan dan membebaskan Islah Wahyudi serta-merta," katanya.
Justeru katanya, PPMM ingin mengingatkan pihak berkuasa sama ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mahupun PDRM bahawa kuasa yang ada adalah amanah dan tidak wajar disalah guna bagi menekan, mengekang atau menakutkan rakyat daripada menyatakan kebenaran.
"Adalah lebih mustahak agar kuasa yang ada sebaliknya digunakan bagi mengambil tindakan ke atas para penceroboh sama ada melalui tanah persendirian atau tanah milik kerajaan yang melanggar undang-undang tanpa sebarang bersikap memilih.
"Dalam satu penghakiman mahkamah dalam kes Lee Loy & Ors v Poh Kam Sang & Anor [2018] 3 MLJ 240, Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak boleh dan tidak sepatutnya melindungi atau membela penceroboh: 'Third, the court should not protect squatters, as decided by the Federal Court in Sidek bin Haji Muhammad....."
"Maka kami menggesa hak dan perlindungan orang awam di dalam perlembagaan persekutuan hendaklah dihormati oleh penguatkuasaan tanpa tunduk kepada mana-mana tekanan daripada pihak-pihak luar," katanya.