Peruntukan pembangunan negeri perlu ikut formula bukan politik - Ahmad Samsuri

Iklan
Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR - Kerajaan dicadangkan memperkenalkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang telus serta berasaskan keperluan sebenar bagi memastikan pengagihan peruntukan pembangunan lebih adil dan seimbang.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN - Kemaman) berkata, formula itu perlu mengambil kira empat faktor utama iaitu keperluan fiskal setiap negeri, keupayaan menjana hasil sendiri, jurang infrastruktur serta perbezaan kos pembangunan dan penyampaian perkhidmatan awam.

Iklan
Iklan

"Melalui pendekatan ini, pengagihan peruntukan dapat dibuat berdasarkan kriteria yang jelas dan bukan semata-mata bergantung kepada budi bicara sesebuah pentadbiran di peringkat Persekutuan.

"Apatah lagi ianya bukan pertimbangan sentimen kepartian atau nilai keakraban," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Iklan

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menegaskan, jumlah peruntukan yang sama kepada dua negeri tidak semestinya menjamin keadilan kerana setiap negeri mempunyai keupayaan berbeza untuk membangunkan infrastruktur, menarik pelaburan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Justeru ujarnya, pengagihan dana pembangunan perlu mengambil kira jurang pembangunan serta keupayaan ekonomi setiap negeri, bukan berdasarkan jumlah penduduk semata-mata.

Iklan

"Namun ruang masih terbuka untuk memperkukuh mekanisme sedia ada agar lebih responsif terhadap keperluan semasa terutama keperluan setiap negeri yang berbeza-beza.

"Geran per kapita misalnya, tidak boleh dinilai berdasarkan jumlah penduduk semata-mata kerana kos menyediakan kemudahan asas turut dipengaruhi keluasan kawasan, taburan penduduk dan tahap pembangunan infrastruktur serta pelbagai perkara kerana kita perlu membezakan antara negeri di koridor maju dan dengan belum maju," jelasnya.