125 tan e-waste disita di Pelabuhan Barat

Iklan
Nik Ezanee (dua dari kiri) melihat antara barangan dirampas menerusi sitaan kontena dalam operasi yang dijalankan pada Selasa

PELABUHAN KLANG – Taktik licik cubaan menyeludup masuk buangan terjadual dengan mengisytiharkannya sebagai barangan industri terbongkar apabila kira-kira 125 tan e-waste disita dalam pemeriksaan melibatkan lima kontena di Pelabuhan Barat di sini pada Selasa.

Rampasan itu dilakukan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) hasil pemeriksaan di tapak Gudang CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, sekitar jam 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kontena terbabit membawa pelbagai jenis buangan yang dilarang dibawa masuk ke negara ini.

“Dua kontena didapati mengandungi buangan terjadual melibatkan barangan elektronik terpakai seperti pencetak, komputer meja, unit pemprosesan pusat (CPU) serta peralatan komputer yang telah dihancurkan.

Iklan

“Dua lagi kontena membawa buangan terjadual (SW422) iaitu kabel wayar yang telah dihancurkan, manakala satu kontena mengandungi sampah industri atau komersial,” katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Barat pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dagangan terbabit dibawa masuk ke negara ini dalam tempoh berbeza melibatkan tahun 2024, 2025 dan yang terbaharu pada 24 Januari 2026.

Iklan

Rampasan dilakukan oleh AKPS hasil pemeriksaan di tapak Gudang CFS 4, Pelabuhan Barat.

Menurutnya, kesemua kontena terbabit dipercayai menggunakan kaedah pemalsuan pengikraran dagangan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Perbuatan ini merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 melibatkan pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mengelak duti kastam atau larangan import dan eksport,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan turut mendapati sebuah kontena tidak tersenarai dalam sistem maklumat kastam, sekali gus menunjukkan kontena berkenaan tidak pernah diikrar untuk masuk ke Malaysia.

Tambahnya, kemasukan bahan buangan terjadual adalah dilarang sama sekali mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Negara pengeksport bagi kontena terbabit dikenal pasti melibatkan Amerika Syarikat, Sepanyol, Korea dan Taiwan.

“Kesemua kontena terlibat telah ditahan bagi tujuan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk dagangan yang melanggar perundangan kerana ia berisiko menjejaskan keselamatan biosekuriti, kesihatan awam serta kepentingan industri tempatan.