SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan digesa menilai semula penganjuran Sambutan Hari Pekerja Pelancongan yang diadakan bersama Festival Muzikal Air di Bukit Bintang yang akan berlangsung pada 1 Mei ini dari sudut lokasi, skala dan bentuk acara.
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda Pas, Mohamed Sukri Omar berkata, gesaan itu turut ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata, penganjuran festival sempena pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) secara terbuka di kawasan tumpuan awam seperti Bukit Bintang berisiko menjejaskan mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan orang ramai serta keselesaan pelancong, termasuk keluarga dan warga emas.
“Konsep festival hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan percampuran bebas dan suasana pesta awam perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab, sensitiviti budaya tempatan serta keharmonian sosial, khususnya dalam konteks sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Penganjuran program seumpama ini di kawasan sesak juga mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral.
“Pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, tetapi mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan penganjuran beberapa acara sempena VM2026 termasuk sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Festival Muzikal Air dijangka berlangsung di Bukit Bintang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kedua-dua program tersebut bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 Mei ini dan beberapa jalan di kawasan Bukit Bintang akan ditutup sementara bagi melancarkan penganjuran acara berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor berkata, kerajaan dan MOTAC turut digesa mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga dan pihak berkepentingan setempat berhubung penganjuran program berkenaan.
“Kerajaan juga perlu mengutamakan acara pelancongan yang berunsur budaya, keluarga dan komuniti, selari dengan nilai masyarakat serta imej Malaysia di mata dunia.
“Hakikatnya, kekuatan utama Malaysia di mata pelancong asing bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas tetapi pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran yang membentuk jati diri negara ini,” ujarnya.
Mohamed Sukri turut menegaskan bahawa bantahan itu bukan penolakan terhadap VM2026, malah selari dengan matlamat kempen tersebut yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.
Menurutnya, pemilihan acara utama perlu mencerminkan jati diri Malaysia, bukan sekadar meniru model pesta jalanan negara luar.
“Mempertahankan budaya dan identiti ketimuran bukan penghalang kemajuan, malah asas kepada pelancongan yang bermaruah, lestari dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Pelancongan yang berjaya bukan yang paling bising dan sensasi, tetapi yang berakar pada nilai, berteras budaya dan berwajah Malaysia,” katanya.