Ramalan Ronaldo jadi kenyataan

Iklan
Cristiano Ronaldo Foto Agensi

BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo sebenarnya sudah lama menaruh kepercayaan terhadap Michael Carrick sebagai seorang jurulatih berkaliber.

Kini, selepas mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Manchester City dan Arsenal sebagai pengendali sementara, ramalan bekas ikon nombor 7 Manchester United itu dilihat semakin menjadi kenyataan.

Iklan
Iklan

Kehadiran Carrick di kerusi panas Old Trafford walaupun sekadar 'bidan terjun' ternyata memberi impak segera yang luar biasa.

Hanya dalam dua perlawanan, bekas pemain tengah itu berjaya mengubah suasana bilik persalinan dan moral pasukan menerusi dua kemenangan berprofil tinggi iaitu menewaskan Manchester City 2-0 dalam aksi derbi dan menundukkan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal dengan keputusan 3-2 di Stadium Emirates.

Iklan

Dua keputusan positif ini bukan sahaja meniupkan semula harapan penyokong The Red Devils, malah kembali meletakkan perhatian kepadanya yang sebelum ini sering dianggap sebagai watak belakang tabir.

Kejayaan ini seolah-olah mengesahkan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Ronaldo pada Disember 2021, ketika kali pertama Carrick mengambil alih tugas sementara pasukan itu.

Iklan

"Tiada yang mustahil untuk Carrick. Dia boleh menjadi jurulatih yang hebat," tulis kapten Portugal itu ketika itu.

"Dia adalah pemain yang luar biasa dan saya bangga pernah bermain bersamanya serta dilatih olehnya," tambah Ronaldo dalam satu kenyataan yang disifatkan sebagai salam perpisahan simbolik ketika itu.

Secara kebetulan, tempoh interim pertama Carrick dahulu juga berakhir dengan kemenangan 3-2 ke atas Arsenal satu perincian yang kini menguatkan lagi naratif kehebatan taktikalnya.

Statistik menarik turut menjadi bualan hangat pemerhati bola sepak. Sejak Mikel Arteta mengendalikan Arsenal, The Gunners hanya tewas dua perlawanan rasmi di mana mereka berjaya menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol.

Kedua-dua kekalahan tersebut berlaku ketika menentang pasukan yang dikendalikan oleh Carrick.

Pengendali sementara United itu sebelum ini menimba pengalaman sebagai pembantu kepada Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer, selain pernah mengendalikan Middlesbrough.

Biarpun rekod cemerlang mula dicatatkan, tidak semua pihak yakin dengan kemampuan jangka masa panjang Carrick.

Bekas kapten United, Roy Keane secara terbuka menyuarakan keraguannya.

"Saya tidak yakin dia orang yang tepat untuk jawatan itu. Mereka memerlukan jurulatih dengan nama yang lebih besar," tegas Keane.