270 sindiket dadah lumpuh, 55 makmal haram dibongkar tahun lalu - KPN

Iklan
Mohd Khalid (kiri) menyampaikan sijil penghargaan semasa Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Januari 2026 Anjuran JSJN pada Selasa. Foto: PDRM

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) merekodkan kejayaan melumpuhkan 270 sindiket dadah melibatkan 737 tangkapan selain pembongkaran 21 makmal haram tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, jumlah sindiket yang ditumpaskan itu mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2024 yang melibatkan 236 sindiket dan 714 tangkapan. 

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan pembongkaran makmal haram turut menunjukkan peningkatan berbanding 12 makmal yang dibongkar pada tahun 2024.

"Pencapaian luar biasa turut dicatat dalam aspek rampasan, di mana nilai keseluruhan rampasan dadah dan racun mencatatkan kira-kira RM3.19 bilion.

Iklan

"Jumlah ini hampir lapan kali ganda lebih tinggi berbanding RM388 juta yang dirampas pada tahun sebelumnya," katanya semasa berucap sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara Anjuran JSJN di sini pada Selasa.

Beliau berkata, dalam usaha melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket, JSJN juga berjaya menyita aset bernilai kira-kira RM144 juta dan melucuthakkan harta hampir RM31 juta sepanjang tahun lalu.

Iklan

Jelasnya, angka ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun 2024 yang mencatatkan sitaan sekitar RM100 juta dengan pelucuthakkan hampir RM14 juta.

"Peningkatan mendadak ini bukan sahaja menggambarkan skala aktiviti pengedaran dadah yang semakin agresif, malah turut membuktikan keberkesanan JSJN dalam menyekat bekalan dadah daripada sampai kepada masyarakat sekali gus menyelamatkan generasi masa kini dan akan datang," ujarnya.

Tambah Mohd Khalid, bagi aspek penguatkuasaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, tahun 2025 merekodkan penurunan 27 peratus jumlah tangkapan iaitu 811 tangkapan berbanding 1,111 tangkapan pada tahun sebelumnya.

"Penurunan ini mencerminkan keberkesanan pendekatan pencegahan JSJN serta kejayaan melumpuhkan sindiket-sindiket utama yang dahulunya merupakan penyumbang besar kepada statistik tangkapan di bawah peruntukan ini," ujarnya.

Katanya lagi, sebagai jabatan yang bertanggungjawab memerangi ancaman dadah, JSJN sentiasa cakna dan proaktif dalam menghadapi sindiket dadah yang semakin licik dan kompleks.

"Alhamdulillah, bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, JSJN telah mencatatkan pelbagai kejayaan yang amat memberangsangkan dengan peningkatan signifikan dalam beberapa aspek utama.

"Secara tuntasnya, data statistik pada tahun 2025 jelas mempamerkan komitmen dan keberkesanan operasi serta risikan JSJN dalam memerangi ancaman dadah," ujarnya.

Tegasnya, kejayaan-kejayaan ini bukan sahaja menunjukkan peningkatan kapasiti operasi dan risikan, malah membuktikan usaha berterusan dalam melindungi generasi masa kini dan akan datang daripada cengkaman dadah.