MAIK bina 215 rumah untuk golongan asnaf

Iklan
Tengku Mohamad Rizam (dua dari kanan) menyampaikan replika bantuan persekolahan kepada wakil masjid.  Foto: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

BACHOK – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membina 215 rumah untuk golongan asnaf di seluruh negeri ini dengan peruntukan berjumlah RM14.9 juta sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata, setiap rumah bernilai antara RM65,000 hingga RM80,000 bergantung kepada bilangan ahli keluarga penerima.

Iklan
Iklan

“Rumah tiga bilik bernilai RM65,000, empat bilik RM73,000 manakala lima bilik pula bernilai RM80,000.

“Pemilihan penerima dibuat melalui kerjasama MAIK dengan Pejabat Tanah dan Jajahan selain turut menerima maklumat daripada pemimpin tempatan seperti penghulu atau penggawa,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Bantuan Awal Persekolahan Asnaf MAIK 2026 dan Penyerahan Replika Kunci Rumah MAIK kepada 24 penerima di Masjid Jamek Mahmoodi, di sini, pada Selasa.

Turut hadir, isteri beliau, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Iklan

Pada majlis sama, Tengku Mohamad Rizam turut menyampaikan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 seorang kepada 210 pelajar dari Masjid Mukim Zon Bachok melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM31,500.

Menurutnya, peruntukan tahunan bagi bantuan awal persekolahan kepada golongan asnaf pada tahun ini adalah sebanyak RM3.5 juta, melibatkan seramai 25,578 pelajar di seluruh Kelantan.

Sementara itu, penerima rumah MAIK, Nor Asiah Safei, 39, dari Kampung Nipah, di sini, menyatakan rasa syukur apabila akhirnya memiliki rumah sendiri selepas sekian lama menyewa.

Katanya, sejak lapan tahun lalu dia bersama suaminya, Raja Shahrun Eshan Raja Ali, 38, dan dua anak terpaksa tinggal di rumah sewa dengan bayaran RM300 sebulan.

“Saya memohon bantuan rumah MAIK ini sejak tahun 2022.

“Penantian kami berbaloi. kami dapat rumah tiga bilik untuk jadi tempat tinggal,” katanya.