Virus Nipah: KKM tingkat kawalan kesihatan di semua pintu masuk negara

Iklan
Virus Nipah ialah penyakit zoonotik yang boleh menular daripada haiwan ke manusia serta melalui kontak rapat antara manusia.

PUTRAJAYA – Kawalan kesihatan di semua pintu masuk negara akan dipertingkatkan secara berperingkat susulan laporan jangkitan virus Nipah yang dilaporkan berlaku di India.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memantau secara rapi perkembangan situasi berkenaan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta komunikasi dua hala bersama pihak berkuasa berkaitan.

Iklan
Iklan

"KKM menegaskan bahawa langkah kawalan kesihatan di sempadan sentiasa dikekalkan dan akan dipertingkatkan secara berperingkat mengikut perkembangan penilaian risiko serta kemas kini epidemiologi rasmi," katanya pada Selasa.

Jelas kementerian itu, sebarang langkah kesihatan awam selanjutnya akan diputuskan berdasarkan maklumat yang telah disahkan dan penilaian risiko yang teliti, selaras dengan dasar nasional serta prosedur sedia ada.

Iklan

"Tahap kesiapsiagaan kesihatan awam di pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan laut dan pintu sempadan darat, terus beroperasi secara konsisten mengikut protokol yang telah ditetapkan.

"Langkah-langkah itu merangkumi pemantauan kesihatan dan saringan berasaskan risiko terhadap pengembara, laluan rujukan yang jelas bagi pengembara bergejala atau disyaki menghidap penyakit serta kesiapsiagaan operasi Pasukan Perubatan Kecemasan (Emergency Medical Team, EMT) selaras dengan garis panduan penyakit berjangkit sedia ada," ujar KKM.

Iklan

Jumaat lalu, beberapa kes jangkitan virus Nipah telah disahkan di negeri West Bengal, India, termasuk dalam kalangan petugas kesihatan di sebuah hospital swasta, di mana lebih 100 individu telah ditempatkan di bawah kuarantin bagi membendung penyebaran penyakit itu yang mempunyai kadar kematian tinggi dan tiada kaedah rawatan khusus setakat ini.

Virus Nipah ialah penyakit zoonotik yang boleh menular daripada haiwan ke manusia serta melalui kontak rapat antara manusia, menyebabkan gejala seperti demam, masalah pernafasan dan keradangan otak dan ia kini menjadi tumpuan pihak berkuasa kesihatan di India serta pengawasan oleh agensi seperti WHO.

Susulan laporan tersebut, beberapa negara Asia telah memperketat langkah kawalan kesihatan bagi mengurangkan risiko penularan rentas sempadan.

Thailand, Nepal dan Taiwan antara yang meningkatkan saringan kesihatan di lapangan terbang serta pada laluan sempadan utama termasuk pemeriksaan suhu badan, pemantauan gejala dan pengaktifan semula protokol saringan ala Covid-19 bagi penumpang yang tiba dari kawasan berisiko.

Taiwan juga merancang mengklasifikasikan jangkitan virus Nipah sebagai penyakit wajib lapor kategori tertinggi dalam sistem kawalan penyakitnya untuk mempercepat pelaporan dan tindakan kawalan.