Pencemaran Ulu Sungai Johor: Operasi kilang sawit digantung, pengurus ditahan

Iklan
JAS Johor menahan pengurus dan operator sebuah kilang kelapa sawit bagi membantu siasatan susulan kejadian pencemaran sungai kawasan Jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi. - Foto JAS Johor

JOHOR BAHRU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor menggantung operasi sebuah kilang memproses kelapa sawit dan menahan pengurus kilang susulan insiden pencemaran sungai di kawasan Jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, insiden pencemaran berkenaan dilaporkan berlaku pada Ahad lalu, selepas wakil penduduk kampung membuat aduan tentang keadaan air sungai yang bertukar warna hitam.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, penguat kuasa JAS telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

“Hasil siasatan mendapati punca pencemaran disyaki daripada sebuah kilang memproses kelapa sawit yang beroperasi di kawasan Layang-Layang, Kluang.

Iklan

"Pemeriksaan teknikal di premis berkenaan menemui pelanggaran serius apabila sistem pengolahan efluen gagal berfungsi dengan baik.

“Siasatan mendapati struktur furrow (saluran efluen) di dalam kawasan premis telah pecah, menyebabkan efluen mentah terlepas keluar dan mengalir terus ke punca air, sekali gus mengakibatkan pencemaran sungai serta menjejaskan penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan.

Iklan

Pada Ahad, kejadian pencemaran Sungai Johor dilaporkan berlaku lagi, kira-kira tiga bulan selepas insiden sama sebelum ini menjejaskan bekalan air di sekitar Johor Bahru.

Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, nelayan mengesan perubahan warna air Ulu Sungai Johor menjadi kehitaman ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan berhampiran jeti pada petang Ahad.

Dalam pada itu, Mohd Famey memberitahu JAS Johor telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap premis terbabit.

Selain itu, katanya, lesen operasi kilang turut digantung sehingga kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya bagi memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang alam sekitar.

“Tindakan tegas turut diambil dengan menahan pengurus kilang dan seorang operator di bawah Seksyen 37(C) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi membolehkan siasatan rapi dilengkapkan sebelum pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau menegaskan, JAS Johor tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah alam sekitar dan pihak industri diingatkan supaya sentiasa memastikan sistem pengolahan efluen berada dalam keadaan baik serta mematuhi sepenuhnya peruntukan undang-undang.

“Kecuaian dalam menguruskan sisa buangan industri bukan sahaja merosakkan ekosistem sungai, malah memberi kesan buruk terhadap kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu pada Oktober tahun lalu, media melaporkan air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna kepada putih seakan susu dipercayai kerana tercemar.

Pencemaran berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berdekatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran yang berlaku turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor dan turut menjejaskan 1.8 juta penduduk, atau lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi akibat pencemaran Sungai Johor.