Chegubard dakwa terima intimidasi teruk, gesa Anwar bantu perangi rasuah

Iklan
Chegubard menunjukkan tontonan 63 juta mengenai pendedahan beliau berkaitan rasuah pegawai tinggi ATM.

MELAKA – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, mendedahkan dirinya berdepan intimidasi teruk termasuk ugutan serta dakwaan diikuti kenderaan risikan selama 24 jam.

Ia susulan pendedahan yang dibuat beliau berkaitan dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, selain tekanan berterusan, dirinya turut ditawarkan habuan bernilai jutaan ringgit bagi menghentikan pendedahan kes-kes rasuah berkenaan.

Chegubard berkata, beliau juga sedang berdepan empat saman serta tindakan lain, selain tekanan yang diterima melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

“Saya minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jika jujur dan ikhlas untuk memerangi rasuah, mari kita duduk bersama. Saya bentangkan semua dan kita boleh benar-benar bersama membersihkan negara.

“Jangan saya buat kerja, saya pula yang kena intimidasi. Lepas itu, kredit kamu yang ‘claim’ semua,” katanya pada sidang akhbar di Melaka, pada petang Isnin.

Iklan

Beliau turut memaklumkan telah menerima panggilan daripada beberapa Ibu Pejabat Daerah (IPD) di seluruh negara termasuk Dang Wangi, Bukit Aman dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) untuk tujuan siasatan.

Ujarnya, beliau disiasat menggunakan peruntukan undang-undang termasuk Akta Rahsia Rasmi, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta lebih 500 siasatan di bawah Akta Fitnah dan Akta Hasutan.

“Pada Isnin, saya dipanggil hadir ke IPD Melaka Tengah untuk diambil keterangan. Telefon bimbit dan gajet saya juga terpaksa diserahkan.

“Sepanjang perjuangan ini, banyak gajet telah dirampas selepas pihak berkuasa mendapatkan kebenaran SKMM,” ujarnya.

Mengulas dakwaan kononnya beliau membocorkan rahsia negara, Chegubard menegaskan pendedahannya tidak melibatkan sebarang operasi atau strategi ketenteraan.

“Saya tidak dedahkan rahsia tentera. Apa yang saya dedahkan ialah rasuah dalam kalangan segelintir pegawai kanan yang menyalahgunakan kedudukan.

“Mereka mendakwa saya menjadi punca anggota tentera mengalami keruntuhan moral. Saya boleh buktikan dengan menerima ribuan mesej daripada anggota tentera, daripada pegawai berpangkat satu bintang ke bawah, termasuk pegawai dan LLP (lain-lain pangkat) yang berterima kasih serta kembali bersemangat kerana mereka tahu apa yang berlaku,” katanya.

Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada rakyat atas sokongan yang diterima, termasuk capaian tinggi di media sosial dengan lebih 63 juta tontonan terhadap pendedahan rasuah yang dilakukannya.

“Namun, saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam memberikan komen dan tidak mengaitkan keseluruhan ATM dengan isu rasuah.

“Masih ramai anggota tentera yang ikhlas berkhidmat dan mempertahankan negara. Yang kita perangi hanyalah segelintir kecil pegawai kanan yang korup,” tegasnya.

Chegubard turut memaklumkan akan hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu bagi menyerahkan beberapa data baharu melibatkan dakwaan rasuah dalam agensi lain.

Dalam pada itu, beliau berkata pendedahan terhadap ATM dibuat kerana isu tersebut telah lama berlaku dan melibatkan kepentingan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Pada 2024, saya pernah ditahan hampir seminggu di bawah Akta Rahsia Rasmi kerana mendedahkan dakwaan rasuah melibatkan seorang bakal Panglima Tentera Laut.

“Isu ini bukan baharu dan jika dibiarkan, ia boleh menghancurkan negara,” katanya.

Pada 22 Disember tahun lalu, Chegubard membuat laporan polis di IPD Dang Wangi dengan mendakwa dirinya memiliki dokumen forensik yang menunjukkan aliran wang bulanan berjumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera dan ahli keluarganya.

Dua hari kemudian, SPRM merakam keterangan tiga individu dan mempergiatkan siasatan dengan membuat semakan akaun yang disyaki terbabit dalam rasuah perolehan.

Ia disusuli pada 22 Januari lalu apabila bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar, didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur atas empat pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram.

Muhammad Hafizuddeain turut berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Rasuah Shah Alam, Selangor pada 23 Januari lalu, manakala isterinya akan didakwa dengan satu pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu, Isnin lalu.

Sementara itu, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar, turut didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada 23 Januari lalu membabitkan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, susulan siasatan salah guna kuasa melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).

Beliau juga menghadapi pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Chegubard melancarkan satu operasi khas yang dinamakan Ops Hiroshima bagi mendedahkan kontraktor-kontraktor yang didakwa terlibat dalam salah guna kuasa dan penipuan membabitkan perolehan ketenteraan.