Pelancong diserang harimau bintang salji selepas cuba ambil gambar secara dekat

Iklan
Seorang pelancong cedera selepas diserang harimau bintang salji di Xinjiang, China.

XINJIANG - Seorang pelancong yang sedang menikmati percutian berski di wilayah Xinjiang, China, cedera selepas diserang oleh harimau bintang salji pada 23 Januari lalu.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Iklan
Iklan

Insiden berlaku sekitar jam 7 malam waktu tempatan di kawasan Kampung Talat, Koktokay Township, menurut laporan Global Times.

Beberapa video insiden yang tular di media sosial menunjukkan mangsa yang memakai jaket ungu dan topi keledar hitam dibantu oleh beberapa orang sambil menutup mukanya dengan tangan. Terdapat kesan darah pada pakaian mangsa.

Iklan

Menurut laporan media tempatan China News, pelancong itu cuba mengambil gambar harimau salji yang dilihatnya di salji, tetapi jaraknya terlalu jauh untuk rakaman yang jelas.

Walaupun diberi amaran oleh pelancong lain, dia tetap menghampiri haiwan tersebut sehingga jarak hanya kira-kira tiga meter sebelum harimau bintang salji itu tiba-tiba melompat menyerangnya dan menggigit muka mangsa.

Iklan

Mangsa jatuh ke tanah serta-merta, namun topi keledar melindungi daripada kecederaan lebih serius.

Seorang pengajar ski kemudian campur tangan dengan menggunakan tongkat ski untuk menakutkan harimau bintang salji dan memastikan mangsa selamat.

Mangsa kemudiannya segera dibawa ke Hospital Rakyat Daerah Fuyun untuk menerima rawatan.

Pihak berkuasa melalui akaun WeChat rasmi Biro Perhutanan dan Padang Rumput Daerah Fuyun serta Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan mengesahkan insiden itu dan menegaskan bahawa pelancong tersebut berada dalam keadaan stabil.

Mereka juga memaklumkan bahawa rondaan keselamatan dan langkah perlindungan telah dipertingkatkan, disertai usaha pendidikan awam bagi mengingatkan penduduk dan pelancong supaya menjaga jarak selamat daripada haiwan liar dan melaporkan sebarang pertemuan kepada pihak berkuasa.

Harimau bintang salji merupakan haiwan dilindungi peringkat pertama di China dan populasinya sangat terhad, dengan habitat utama di Xinjiang, Qinghai, Tibet, dan beberapa wilayah lain. - Agensi