SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) UiTM terus melaksanakan pelbagai program bermanfaat untuk melahirkan mahasiswa profesional berjiwa masyarakat.
Sebanyak tiga program komuniti kesihatan berimpak tinggi berjaya dilaksanakan oleh mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan (separuh masa), Kumpulan NHSN8, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam sepanjang Januari 2026.
Program tersebut merangkumi Program Sentuhan Sihat UiTM Bersama Komuniti Felda Palong 12 dan 13 (Negeri Sembilan), Program Komuniti Kesihatan 2026 di Kem Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras (Selangor), serta Program Komuniti Masyarakat Orang Asli Sungai Tisong 2026 (Sungkai, Perak).
Secara keseluruhan, program-program itu memberi manfaat kepada lebih 700 peserta termasuk penduduk Felda, anggota keselamatan dan keluarga, serta masyarakat Orang Asli.
Pelaksanaan program itu di bawah bimbingan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor selaku Penasihat Program, Fatimah Sham.
“Ia diadakan untuk memastikan aktiviti berteraskan keperluan komuniti dan sejajar dengan hasil pembelajaran kursus NRS522: Kejururawatan Kesihatan Komuniti.
“Pendekatan ini turut membolehkan mahasiswa mengaplikasikan teori kejururawatan, kemahiran klinikal, komunikasi berkesan serta kerja berpasukan dalam persekitaran komuniti sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian iCEPS UiTM, Dr Saiful Adli Bukry berkata, penganjuran program seperti itu membuktikan pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja menumpukan pencapaian akademik, malah membentuk mahasiswa sebagai modal insan profesional, beretika dan berkeupayaan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
“Inisiatif itu juga selari dengan aspirasi Malaysia Madani serta SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) dan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti),” katanya.
Antara aktiviti utama yang diadakan termasuklah pendidikan dan saringan kesihatan, promosi gaya hidup sihat, pemeriksaan kendiri, penjagaan kaki diabetes, pendidikan kesihatan mental, ceramah keibubapaan, demonstrasi pertolongan cemas serta pameran dan perkhidmatan sokongan melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
Kejayaan program itu turut disokong kerjasama rakan strategik daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi kesihatan serta kepimpinan komuniti setempat, sekali gus memperkukuh peranan UiTM dan iCEPS sebagai institusi yang progresif dan berorientasikan masyarakat.