SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan kira-kira RM700,000 susulan siasatan ke atas syarikat-syarikat dipercayai terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut sumber, SPRM menerusi Op Layar telah pergiatkan siasatan dakwaan rasuah dalam perolehan projek TLDM.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM itu turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM tersebut bernilai kira-kira RM2 juta.
"Setakat ini SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.
"Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki oleh suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
"Sehingga hari ini SPRM telah merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terlibat dalam kes tersebut," ujarnya pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM telah menahan reman dua individu membabitkan pengarah syarikat dan pegawai kanan TLDM berusia 40 dan 50-an untuk siasatan kes terbabit.
Perintah reman selama tujuh hari hingga 29 Januari itu telah dikeluarkan Majistret A Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak pada Jumaat lepas.
Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 hingga 2020.
Sumber dilaporkan berkata, siasatan awal turut mendapati suspek pegawai kanan TLDM terbabit disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.