Sifatkan kemenangan tanggungjawab besar, Naim Moktar janji bekerja untuk masyarakat

Iklan
Mohd Naim Kurniawan (kanan) dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag Mohd Ismail Ayob diumumkan sebagai pemenang pada PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Sri Lamag pada Sabtu. Foto: Bernama

KINABATANGAN - Calon  Barisan Nasional (BN), Mohd Naim Kurniawan Moktar yang berjaya memperoleh mandat daripada rakyat Kinabatangan menyifatkan kemenangannya itu sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar untuk digalas.

Anak kedua Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu menegaskan komitmennya untuk bekerja bersama masyarakat yang telah memilihnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.

Iklan
Iklan

"Sudah semestinya mandat ini datang dengan tanggungjawab yang besar dan insya-ALLAH janji saya kepada semua adalah bekerja untuk masyarakat yang telah memilih saya hari ini.

"Saya dipilih atas pelbagai dasar dan Alhamdulillah walaupun tugas ini tidak kekal, namun amanah yang diberikan adalah besar untuk dilaksanakan.

Iklan

"Insya-ALLAH khidmat bakti saya akan terus menjadi Yang Berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat dunia," katanya ketika menyampaikan ucapan selepas keputusan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Sri Lamag di sini pada Sabtu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta seluruh jentera Barisan Nasional (BN), rakan parti gabungan Kerajaan Perpaduan Sabah selain rakan dan ahli keluarga di Kinabatangan yang bersama-sama meraikan proses demokrasi tersebut.

Iklan

Mohd Naim Kurniawan memperoleh sebanyak 19,852 undi dengan majoriti 14,214 undi.