JOHOR BAHRU – Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terlibat dalam nahas dengan dengan sebuah lagi kereta di Jalan Pasir Pelangi pada awal pagi Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian dipercayai berlaku pada jam 6.50 pagi melibatkan kereta jenis Honda Civic dan kereta jenis Proton Wira.
“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun dari arah Permas Jaya menuju ke pusat bandar.
"Lelaki itu hilang kawalan di lokasi ketika ingin memotong kereta jenis Proton Wira yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun," katanya.
Raub berkata, kereta Honda Civic yang dipandu lelaki tersebut terbabas dan seterusnya melanggar tiang jejambat EDL (Lebuhraya Penyuraian Timur Johor Bahru) di lokasi.
“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu terlibat dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam nahas tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut diminta hadir ke balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Katanya, orang ramai juga boleh terus menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Muhammad Nadzree Shamsudin di talian 019-4588904 bagi membantu siasatan.
“Polis turut mengingatkan kesemua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan berhati-hari setiap masa bagi mengelakkan kemalangan jalan raya,” katanya.