MELAKA - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata justeru, pemimpin UMNO di negeri itu berdepan tugas berat untuk mempertahankan rekod cemerlang mereka selepas berjaya meraih lebih tiga perempat kerusi pada PRN sebelum ini.
"Saya sering mengingatkan diri saya, untuk memperoleh kejayaan itu sukar, tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar.
"Saya ingatkan kawan-kawan di Melaka ini, sekarang tugas kita adalah untuk mempertahankan kejayaan. Saya tidak mahu kesukaran ini melebihi kesukaran yang pernah kita hadapi dalam pilihan raya negeri yang lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama-sama Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Alai, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Sementara itu, ditanya tentang konsep Rumah Bangsa yang mungkin diaplikasikan pada PRN Melaka kali ini, Ahmad Zahid berkata, perinciannya akan dibincangkan bersama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
"Apabila beliau kembali (dari China), kita akan perincikan metodologi yang akan dilakukan untuk terjemahkan Rumah Bangsa dalam konteks PRN Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Pada PRN Melaka 2021, Barisan Nasional menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. Penggal lima tahun DUN Melaka dijangka tamat pada Disember ini. - Bernama