TANGGAL 24 Disember lalu menjadi saksi kepada satu kembara bermakna, yang bukan sekadar menguji ketahanan fizikal, tetapi turut menguji nilai setiakawan.
Aku bersama rakan-rakan dalam grup Bunian Bikerz iaitu Jepp, Lucas, Cikman, Rizz, Poji, Tun Nila dan Jimie merancang untuk ride ke Phuket sejak beberapa bulan lalu.
Kami berpakat untuk menghabiskan cuti hujung minggu dan cuti umum Hari Krismas di negara Gajah Putih itu selama empat hari untuk melihat keunikan bumi orang sambil menganyam memori persahabatan.
Abang Fairus dan Ijad sepatutnya menyertai kami tetapi terpaksa menarik diri pada saat akhir atas sebab tertentu.
Phuket menjadi kegemaran kerana keramahan penduduknya, makanan tempatan yang sedap, banyak pilihan tempat penginapan, akses yang mudah dan paling utama, semuanya murah-murah!
Bukan itu sahaja, Phuket juga menawarkan banyak tarikan yang boleh dikunjungi dan lokasinya yang mesra pelancong.
Kali ini, hampir semua membawa pasangan masing-masing kecuali Tun Nila yang memilih untuk menunggang secara solo. Aku menunggang BMW GSA1200, Lucas dengan Triumph Tiger 900, Jepp (BMW GSA1200), Cikman (Yamaha Tracer 900GT), Rizz (Yamaha MT-09), Poji (BMW GSA1250), Tun Nila (CFMoto 800MT) danJimie (Suzuki V-Strom 1000) - kuda besi yang membawa kami merentas sempadan.
Aku, Cikman dan Jimie bertolak sedikit lewat berbanding rakan-rakan lain yang sudah bergerak awal dan menunggu di Danok.
Cabaran utama apabila menunggang motosikal untuk perjalanan jauh sudah tentulah cuaca yang tidak menentu kerana hujan dan panas silih berganti. Tetapi itu bukanlah masalah utama buat rider kental seperti kami.
Perjalanan kami bermula dari R&R Rawang dalam keadaan hujan lebat, memaksa aku mengenakan raincoat hingga ke sempadan. Tepat jam 10 malam, kami bergerak menuju pintu sempadan Bukit Kayu Hitam.
Di Changlun, kami berhenti seketika menguruskan insurans, mengisi minyak dan menukar mata wang baht Thailand. Urusan di kedua-dua sempadan mengambil masa hampir satu jam.
Selesai semua urusan, kami singgah membeli kad sim tempatan bagi memudahkan komunikasi sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai dan bermalam di hotel langganan kami.
Hari Kedua: Menuju Phuket
Perjalanan diteruskan dari Hatyai menuju Phuket. Kami singgah di Route 41, Phattalung untuk mengisi perut dan mengabadikan gambar kenangan bersama rakan-rakan.
Laluan seterusnya melalui Route 4 (Trang) tanpa menetapkan hentian rehat tetap kerana salah seorang rakan menghadapi masalah kesihatan.
Komunikasi melalui interkom menjadi nadi perjalanan. Setiap keputusan dibuat secara kolektif. Seorang rakan mencadangkan agar kami singgah di Krabi. Sekitar jam 3 petang, kami tiba di Ao Nang, menikmati suasana pantai sambil merakam kenangan bersama pasangan masing-masing.
Perjalanan diteruskan ke Phuket. Phuket adalah pulau terbesar di Thailand dan terkenal dengan pantainya yang memukau, kehidupan malam yang meriah dan kaya dengan budaya dan sejarah. Kesesakan luar biasa di pulau tersebut menyebabkan kami hanya tiba di hotel sekitar jam 7.30 malam.
Selepas berehat dan membersihkan diri, kami makan di sebuah kafe berhampiran. Makan tidak ada masalah kerana banyak restoran halal di sini. Paling tidak, boleh beli burger di 7-Eleven jika lapar di tengah malam.
Hari Ketiga: Menyusuri keindahan Phuket
Aktiviti hari ketiga dimulakan dengan menyewa skuter berhampiran hotel. Destinasi pertama ialah Phuket Old Town. Jalan-jalan di sini dipenuhi dengan kedai-kedai antik, kafe hipster dan galeri seni.
Setiap sudut di Phuket Old Town mempunyai cerita dan sejarah tersendiri. Bukan itu sahaja, Phuket Old Town juga adalah syurga bagi pencinta makanan.
Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Rawai Beach dan Promthep Cape. Di sini kami berhenti sejenak, menikmati panorama laut sambil menginsafi kebesaran ALLAH SWT.
Promthep Cape adalah salah satu tempat yang paling popular untuk menikmati pemandangan matahari terbenam yang menakjubkan di Phuket.
Kami sempat singgah di Karon Beach namun kekangan masa memaksa kami meneruskan perjalanan ke sebuah kafe di Kalim Beach untuk menjamu selera sambil menikmati pemandangan indah.
Dalam perjalanan, aku dan Jepp ditahan di sekatan jalan raya polis trafik Thailand. Kelam kabut dan panik juga dibuatnya.
Namun setelah mengetahui kami dari Malaysia, pihak polis melepaskan kami. Sempat aku berseloroh bertanya sama ada wajah kami kelihatan ‘Pan-Asia’ dan polis tersebut mengakui mereka keliru dengan raut wajah kami.
Malamnya, kami menyusuri Patong Beach dengan skuter sebelum berjalan kaki di sekitar Bangla Road yang sesak, merasai denyut nadi kehidupan malam Phuket dan merakam kenangan terakhir di pulau itu. Kami merakam kenangan dan mengingatkan diri bahawa keseronokan pun ada batasnya.
Hari Keempat: Pulang dengan cerita
Perjalanan pulang bermula sekitar jam 10 pagi. Sekali lagi, tiada hentian tetap ditetapkan. Gurauan dan perbualan melalui interkom mengiringi perjalanan panjang.
Namun setibanya di kawasan Trang, cuaca berubah drastik. Angin ribut dan hujan lebat memaksa kami berteduh demi keselamatan.
Kami akhirnya tiba di Danok untuk berehat dan bermalam, menutup kembara dengan menikmati daging bakar Danok yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong.
Kembara ini mengajar kami bahawa perjalanan jauh bukan sekadar tentang destinasi, tetapi tentang kepercayaan, toleransi dan semangat setiakawan. Dalam kesejukan hujan, kesesakan dan cabaran, persahabatanlah yang menjadi ‘pemanas’ sepanjang perjalanan.
Hakikatnya, perjalanan ini bukan tentang Phuket. Ia tentang semangat setiakawan. Di jalanan, kami belajar bahawa persahabatan bukan hadir ketika mudah, tetapi kekal ketika susah. Itulah makna sebenar Phuket Attack. Kami pasti datang lagi!