Destinasi pelancongan utama negara cerminan imej Malaysia

Iklan
King Sing berkata, tanggapan awal pelawat terhadap negara ini banyak bergantung kepada kualiti perkhidmatan, pengalaman menyeluruh serta tahap profesionalisme industri hospitaliti di lokasi tumpuan pelancong.

KUALA LUMPUR - Destinasi pelancongan utama negara memainkan peranan penting sebagai cerminan imej Malaysia kepada pelawat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tanggapan awal pelawat terhadap negara ini banyak bergantung kepada kualiti perkhidmatan, pengalaman menyeluruh serta tahap profesionalisme industri hospitaliti di lokasi tumpuan pelancong.

Iklan
Iklan

“Destinasi seperti Pulau Pinang, dengan kekuatan warisan, budaya dan produk pelancongan tersendiri, memberi gambaran awal kepada pelawat tentang wajah sebenar Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial pada Jumaat.

Menurut beliau, industri hospitaliti masa kini tidak lagi boleh dinilai berdasarkan bangunan atau penarafan bintang semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek manusia, budaya perkhidmatan, kebertanggungjawaban serta layanan mesra yang tulen.

Iklan

Katanya, apabila tetamu mengemukakan aduan atau kebimbangan, industri perlu bersedia memberikan respons secara profesional, telus dan bertanggungjawab.

Destinasi pelancongan utama negara memainkan peranan penting sebagai cerminan imej Malaysia kepada pelawat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Iklan

“Pemulihan perkhidmatan, kehadiran kepimpinan serta pemerkasaan barisan hadapan bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan,” katanya.

Tiong berkata, industri hospitaliti juga perlu bersedia menyegarkan amalan lama serta prosedur yang terlalu rigid, dengan polisi yang diwujudkan harus menyokong semangat hospitaliti dan bukannya mengehadkan keupayaan untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Tambah beliau, pendekatan yang lebih berfokuskan manusia dan berorientasikan perkhidmatan diyakini mampu mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan berdaya saing.

Dalam pada itu, beliau menegaskan hotel-hotel perlu terus mengekalkan piawaian tinggi melalui penyelenggaraan yang baik, kerja pembaikan tepat pada masanya serta naik taraf kemudahan secara berkala.

“Langkah ini penting bukan sahaja untuk memastikan keselesaan dan keselamatan tetamu, malah bagi melindungi imej destinasi pelancongan utama termasuk Pulau Pinang serta reputasi Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tetamu harus dilayan dengan penuh hormat di setiap peringkat, manakala pihak pengurusan perlu sentiasa bersedia tampil ke hadapan apabila diperlukan.

“Inilah standard yang diharapkan ketika kita memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan kompetitif,” katanya.