Negara bangsa benteng perpaduan rakyat

Iklan
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang (tengah) menunjukkan isyarat tangan ‘bagus’ selepas melancarkan tema perpaduan tahun 2026 yang mengangkat slogan Bersama Membina Negara Bangsa di Putrajaya, pada Selasa. - Foto: Bernama.

PUTRAJAYA – Pembinaan negara bangsa menjadi benteng utama penyatuan rakyat dalam mendepani cabaran perbezaan ideologi, politik identiti dan tekanan globalisasi, sekali gus memastikan keharmonian negara majmuk terus terpelihara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, negara bangsa merupakan asas penting kepada keamanan, kestabilan dan perpaduan negara, khususnya dalam landskap global yang semakin kompleks.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tanpa asas negara bangsa yang kukuh, masyarakat mudah terdedah kepada perpecahan yang boleh menjejaskan keselamatan serta keharmonian negara.

“Dalam realiti global hari ini yang dipengaruhi media sosial, perbezaan ideologi dan politik identiti, pembinaan negara bangsa berperanan menyatukan rakyat di bawah perkongsian identiti nasional, tanpa menafikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat 2026 di sini, pada Selasa.

Aaron berkata, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengangkat Bersama Membina Negara Bangsa sebagai tema tahun 2026, selari dengan aspirasi Kerajaan Madani melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menjadikan pembinaan negara bangsa sebagai antara tonggak utama pembangunan negara.

Iklan
Aaron ketika berucap pada majlis Amanat Tahun 2026 Kementerian Perpaduan Negara. Foto: Bernama

Menurutnya, negara kini berdepan pelbagai cabaran termasuk polarisasi sosial yang semakin melebar, transformasi digital yang pesat, perubahan demografi serta peningkatan tuntutan rakyat terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dalam situasi ini, KPN memikul amanah besar untuk berperanan sebagai jambatan penyatuan dalam kepelbagaian masyarakat,” katanya.

Negara bangsa keperluan strategik

Tambah beliau, negara bangsa bukan sekadar konsep politik, sebaliknya keperluan strategik bagi memastikan rakyat berasa memiliki negara ini, berkongsi nilai bersama serta bertanggungjawab memelihara keamanan dan kemajuan negara.

Katanya, kesetiaan kepada negara, penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan serta penghayatan Rukun Negara merupakan teras utama pembentukan negara bangsa.

Aaron turut menjelaskan bahawa nilai Madani mempunyai hubungan rapat dengan pembinaan negara bangsa kerana ia menekankan prinsip masyarakat bertamadun yang beretika, bertanggungjawab, saling menghormati dan hidup secara harmoni.

Aaron (tengah) menunjukkan buku Laporan Pencapaian Menteri Perpaduan Negara Tahun 2025. - Foto: Bernama

Bagi memastikan aspirasi negara bangsa dapat diterjemahkan dan difahami rakyat, katanya, KPN akan meneruskan sesi libat urus, perbincangan meja bulat serta menganjurkan Persidangan Negara Bangsa pada September 2026 yang dijangka menghasilkan Pelan Induk Negara Bangsa sebagai rujukan utama semua pihak, khususnya agensi kerajaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas inisiatif memperkenalkan kursus Aspirasi Pembinaan Negara Bangsa di institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap aspek kenegaraan dan Perlembagaan.

Lima kluster perkukuh perpaduan

Mengulas inisiatif kementerian, Aaron berkata, KPN memberi tumpuan kepada lima kluster utama Pembinaan Negara Bangsa iaitu Tunas Madani, Komuniti Madani, Harmoni Madani, Rakyat Madani dan Warisan Madani.

Menurutnya, Tunas Madani bertujuan membentuk generasi muda berjiwa patriotik, manakala Komuniti Madani berperanan memperkukuh penyatupaduan di peringkat akar umbi.

Sebahagian daripada warga KPN menyambut kedatangan Aaron pada majlis Amanat Tahun 026 KPN di Putrajaya pada Selasa. - Foto: Bernama

“Harmoni Madani pula memberi penekanan kepada kerukunan antara komuniti, Rakyat Madani meraikan kepelbagaian seni dan budaya, manakala Warisan Madani memelihara serta memartabatkan khazanah budaya dan identiti negara,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut mengiktiraf peranan pegawai perpaduan, kurator muzium, pegawai arkib dan pustakawan sebagai Jurutera Sosial Negara yang memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan.

Mengimbas pencapaian tahun lalu, Aaron berkata, KPN berjaya melaksanakan 762 program perpaduan merangkumi kempen dan aktiviti berasaskan empat ikhtiar utama iaitu Ekosistem Perpaduan, Eksplorasi Rukun Negara, Harmoni Madani dan Komuniti Sosio Budaya.