BEIJING - Sebuah syarikat di China mencetuskan perdebatan ramai setelah ia memberi tempoh cuti selama 35 hari kepada kakitangannya sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada bulan hadapan.
Menurut notis yang tular, Haoyun Hardware berpusat di Wenzhou memberikan 'waktu berehat' bermula 1 Februari hingga 7 Mac depan.
Iklan
Iklan
Kesemua staf firma yang menghasilkan peralatan dan alat ganti mesin itu hanya akan kembali bekerja pada 8 Mac.
Pekerja jualan bagaimanapun masih perlu 'standby' jika ada keperluan mendesak untuk mereka bekerja.
Selain cuti panjang, staf juga akan diberikan bonus 5,000 yuan (RM3,000) pada akhir bulan.
Pemilik syarikat itu dikenali sebagai Zhang berkata, dasar cuti sempena perayaan itu telah dilaksanakan sejak 11 tahun lalu.
"Kita sudah bekerja keras selama 11 bulan. Cuti selama sebulan ini dikhaskan untuk meluangkan masa bersama keluarga tersayang," ujarnya yang pernah bekerja sebagai tukang gunting rambut sebelum ini. - Agensi