PERDANA Menteri pada Selasa membuat pengumuman penting bagi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035. Banyak perubahan besar dalam sistem pendidikan negara. Antara yang menjadi perdebatan ramai pihak ialah Darjah 1 pada usia 6 tahun.
Di media sosial pun meriah dengan pelbagai hujah dan pendapat. Riuh jadinya. Ada yang negatif dan positif.
Bagi Merak Jalanan, rancangan itu satu langkah yang baik dan menarik untuk dilaksanakan.
Selama ini pun anak-anak usia 6 tahun dah masuk 'sekolah', prasekolah di tadika kerajaan mahupun swasta. Cuma kali ini level up satu aras iaitu terus masuk Darjah 1.
Bagaimanapun, pastinya ada kebimbangan sedikit sebanyak seperti prasarana di sekolah tidak mencukupi dan bilangan pelajar yang bakal meningkat serta kekangan bilangan guru-guru.
Selain itu, tahap kesediaan anak 6 tahun itu sendiri. Kalau masih pakai lampin pakai buang, rasanya belum sesuai ke Darjah 1.
Apapun Merak Jalanan berpendapat kita perlu beri kepercayaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung pelaksanaan dasar tersebut.
Macam mana pendekatannya itu Merak Jalanan pasti kerajaan dah fikir masak-masak dan siap sedia dengan gerak kerjanya serta langkah-langkah spesifiknya. Biarlah pentadbir pendidikan yang lebih arif menentukan mekanismenya.
Namun harus diingat, ia pilihan ibu bapa, bukan paksaan semua murid 6 tahun masuk Darjah 1.
Apapun, pasti seronok tahun depan jika ada anak usia 7 tahun dan 6 tahun masuk Darjah 1 serentak. Dah macam kembar masuk sekolah.
Nanti habis belajar pun sama-sama. Maka ibu ayah, boleh la siapkan bajet masuk sekolah 2027 dari sekarang!