MALAYSIA berisiko menjadi seperti Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai kos pengeluaran yang sangat tinggi, menyebabkan pelabur tempatan mencari peluang di negara lain seperti Kemboja atau Vietnam yang menawarkan insentif lebih baik.
Sehubungan itu, kerajaan digesa memberi tumpuan lebih besar terhadap pengukuhan pelaburan domestik bagi memastikan kelestarian ekonomi negara dalam jangka panjang, khususnya bagi menghadapi peningkatan kos operasi dan cabaran persekitaran global yang tidak menentu.
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (DPPKM), Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, meskipun pelaburan langsung asing (FDI) memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi, FDI cenderung untuk keluar apabila keadaan tidak lagi menguntungkan.
Sedangkan menurutnya, pelabur domestik adalah pihak yang melabur, beroperasi dan kekal dalam negara walaupun berdepan tekanan kos yang semakin meningkat, termasuk kos pembiayaan, tenaga kerja dan operasi.
"Jika kos pelaburan terlalu tinggi, sukar untuk kami terus melabur. Pada masa ini, pinjaman tinggi, kos pekerja tinggi dan kos operasi juga tinggi.
"Dari sudut cukai pula, kadar yang dikenakan kepada pelabur tempatan adalah sama dengan pelabur asing, sedangkan sebahagian syarikat asing menikmati kelebihan dan insentif tertentu.
"Oleh itu, selain menyokong pelaburan langsung asing (FDI), pelabur domestik juga perlu diberi keutamaan dan insentif yang lebih adil," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Durian Get Together, di sini, pada Rabu.
Mengulas mengenai sentimen perniagaan bagi 2026, beliau menegaskan, pemain industri bagi semua sektor meletak harapan tinggi, didorong oleh angka positif pada tahun lalu.
Bagaimanapun jelas beliau, tarif AS yang tinggi dijangka menjejaskan pengeksport dan mengurangkan keuntungan bagi tahun ini.
"Jangkaan keuntungan untuk tahun 2026 memang terjejas. Dahulu unjuran keuntungan dibuat berdasarkan jangkaan awal.
"Kini, keuntungan masa depan perlu disesuaikan. Komuniti perniagaan perlu mencari jalan untuk mengurangkan kos di bahagian lain," katanya.
Tambah beliau, antara sektor dijangka terjejas adalah industri perabot disebabkan kadar pertukaran asing yang tidak menguntungkan.
"Kos pengeluaran di Malaysia masih tinggi, termasuk gaji dan kos operasi. Ini menjadi cabaran besar, terutamanya bagi pengeksport," katanya.
Bagaimanapun beliau opitimis dengan potensi kepelbagaian pendapatan dan industri Malaysia terus menjadi kekuatan untuk ekonomi negara.
"Kerajaan lebih mesra kepada komuniti perniagaan secara amnya dan peningkatan kadar pertukaran (berbanding AS dan Singapura) dilihat meningkatkan kemampuan pembeli domestik," ujar beliau.