Rantaian restoran berkonsep Israel di Belgium gulung tikar selepas boikot

Iklan
Restoran terakhir di Antwerp ditutup selepas cawangan di Ghent dan operasi di Brussels dihentikan, menamatkan perniagaan di negara tersebut. Foto Agensi

ANTWERP – Rantaian restoran berinspirasikan Israel, Boker Tov yang berpangkalan di Antwerp, Belgium, mengisytiharkan muflis dan menutup cawangan terakhirnya susulan tekanan boikot berpanjangan serta masalah kewangan yang berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Penutupan restoran terakhir di Antwerp itu menyusul selepas cawangan di Ghent ditutup pada September 2025 dan operasi di Brussels dihentikan lebih awal, sekali gus menamatkan perjalanan perniagaan yang pernah berkembang pesat di negara tersebut.

Iklan
Iklan

Pada kemuncaknya, Boker Tov mengendalikan empat cawangan di seluruh Belgium, termasuk dua di Antwerp, serta masing-masing satu di Ghent dan Brussels, kebanyakannya terletak di kawasan penempatan komuniti Yahudi Ortodoks.

Antara menu utama yang diniagakan termasuk shakshuka, hummus, falafel, roti pita, salad Mediterranean, serta kopi dan hidangan sarapan gaya Timur Tengah.

Iklan

Konsep perniagaan mereka menumpukan kepada sajian kasual berasaskan budaya makanan Israel dan Mediterranean.

Pihak pengurusan mendakwa kejatuhan perniagaan itu berpunca daripada kempen boikot dan kebencian dalam talian yang semakin memuncak susulan serangan Israel ke atas Gaza.

Iklan

Mereka turut mengaitkan penutupan tersebut dengan peningkatan sentimen anti-Israel dan dakwaan antisemitisme.

Namun, rekod kewangan mendedahkan rantaian itu sebenarnya telah berdepan hutang yang semakin meningkat sejak 2021, dengan kerugian pertama direkodkan setahun lalu, sekali gus mencerminkan masalah pengurusan dan peluasan perniagaan yang tidak mampan.

Penutupan Boker Tov berlaku dalam konteks gelombang boikot lebih meluas terhadap entiti berkaitan Israel di Belgium dan Eropah, dengan ratusan institusi kebudayaan serta artis menyertai kempen tersebut sebagai bantahan terhadap perang di Gaza. -Agensi