[VIDEO] Pandu laju, tukar lorong secara bahaya punca majoriti kemalangan - Alexander

Iklan

KUALA LUMPUR – Faktor kecuaian manusia seperti memandu laju dan pertukaran lorong secara berbahaya tanpa memberi isyarat dikenal pasti sebagai antara punca utama kepada majoriti insiden kemalangan di negara ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebanyakan kemalangan yang direkodkan termasuk di 'smart lane', bukan berpunca daripada reka bentuk jalan raya, sebaliknya disebabkan sikap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, faktor lain ialah penggunaan lorong kecemasan di luar waktu operasi 'smart lane', termasuk pencerobohan lorong yang menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Secara keseluruhannya, kadar kemalangan di zon 'smart lane' adalah sangat rendah dan tidak signifikan jika dibandingkan dengan jumlah kenderaan yang melalui zon tersebut.

Iklan

“Analisis di beberapa lokasi 'smart lane' termasuk laluan Putra Mahkota ke Southville menunjukkan pengurangan sehingga 22 peratus berbanding sebelum pengaktifan zon berkenaan.

“Manakala, di laluan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang ke Persimpangan Rawang menunjukkan pengurangan sehingga 74 peratus kadar kemalangan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Iklan

Alexander (gambar kecil) berkata, kebanyakan kemalangan yang direkodkan termasuk di 'smart lane', bukan berpunca daripada reka bentuk jalan raya, sebaliknya disebabkan sikap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas. Foto hiasan

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (Barisan Nasional - Tenggara) mengenai pelaksanaan penilaian keselamatan bebas 'smart lane' dan jumlah kemalangan yang direkodkan semasa menggunakan zon laluan tersebut.

Alexander berkata, kementerian kini beralih daripada penyelesaian bersifat sementara kepada solusi infrastruktur yang lebih mampan bagi langkah strategi jangka panjang.

Menurutnya, antara inisiatif tersebut termasuk projek pelebaran dan naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Senai Utara ke Machap yang dilaksanakan secara berfasa, serta Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) bagi mengurangkan kesesakan di kawasan utara Semenanjung.

“Selain itu, projek pelebaran lorong di Lebuhraya Kuala Lumpur (KL)-Karak juga merupakan antara inisiatif jangka masa panjang kerajaan dalam mengurangkan kesesakan terutama semasa musim perayaan.

“Peralihan kepada sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) bagi melancarkan lagi proses pembayaran tol selain dapat mengurangkan kesesakan di plaza tol.

“Menggalakkan peralihan mod pengangkutan melalui projek strategik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan penambahbaikan sistem komuter bagi mengurangkan jumlah kenderaan di lebuh raya utama semasa musim perayaan,” ujarnya.