Syria umum gencatan senjata 4 hari, SDF setuju rundingan politik

Iklan
Rakyat bersorak kegembiraan selepas Kerajaan Syria, SDF setuju gencatan senjata selama empat hari. Foto: Agensi

SYRIA – Kerajaan Syria mengumumkan gencatan senjata selama empat hari dengan Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui kumpulan Kurdish, susulan kejayaan tentera kerajaan merampas beberapa wilayah di timur laut negara itu baru-baru ini.

Menurut laporan Al Jazeera, tentera Syria memaklumkan bahawa gencatan senjata tersebut berkuat kuasa jam 8 malam (waktu tempatan) pada Selasa.

Iklan
Iklan

Kerajaan Syria turut meminta pihak SDF mengemukakan nama calon bagi jawatan Penolong Menteri Pertahanan di Damsyik, sebagai sebahagian usaha mengintegrasikan masyarakat Kurdish ke dalam struktur negara Syria.

SDF dalam kenyataan rasmi mengesahkan penerimaan gencatan senjata dan menyatakan komitmen untuk tidak terlibat dalam sebarang tindakan ketenteraan kecuali jika diserang.

Iklan

“Kami turut menegaskan keterbukaan terhadap laluan politik, penyelesaian secara rundingan dan dialog. Ini termasuk kesediaan untuk meneruskan pelaksanaan perjanjian 18 Januari dengan cara yang menyumbang kepada kestabilan,” kata SDF.

Namun, tidak lama selepas gencatan senjata berkuat kuasa, SDF mendakwa kumpulan yang bersekutu dengan kerajaan Syria telah melancarkan serangan menggunakan senjata berat ke atas kampung Tal Baroud, di sepanjang jalan Abyad, selatan Hasakah.

Iklan

Jurucakap SDF, Farhad Shami berkata, bandar Zarkan turut dibedil secara intensif oleh artileri kumpulan pro-Damsyik sejak beberapa jam lalu.

Beliau mendakwa, Penjara al-Aqtan di utara Raqqa turut diserang menggunakan lima dron berani mati serta tembakan senjata berat oleh kumpulan yang menyokong kerajaan.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, tentera Syria dilapor bergerak pantas dan berjaya merampas semula wilayah yang sebelum ini dikuasai SDF, menandakan perubahan kawalan paling ketara sejak era Presiden Ahmed al-Sharaa, menggantikan bekas Presiden Bashar al-Assad.

Kementerian Dalam Negeri Syria turut mengesahkan bahawa pasukan tentera kerajaan kini mengambil alih kem al-Hol di timur laut Syria, yang menempatkan ribuan ahli keluarga pejuang ISIL (ISIS) serta pelarian jangka panjang akibat konflik.

SDF telah berundur daripada kawalan ke atas kem tersebut pada hari sama.

Walaupun begitu, SDF masih mengekalkan kawalan ke atas Hasakah dan Qamishli, dua bandar utama yang dihuni oleh penduduk Kurdish dan Arab.

Kerajaan Syria memberi jaminan bahawa pasukannya tidak akan memasuki kedua-dua bandar tersebut sepanjang tempoh gencatan senjata.

Di bawah tekanan ketenteraan yang berterusan, SDF sebelum ini bersetuju untuk berundur dari Raqqa dan Deir Az Zor, dua wilayah majoriti Arab yang kaya dengan sumber minyak dan telah dikuasai SDF selama bertahun-tahun.

Wakil Kurdish di Damsyik, Abdul Karim Omar, memaklumkan kepada Al Jazeera bahawa wilayah timur laut Syria kini bersedia untuk melalui proses pengintegrasian pasukan Kurdish ke dalam institusi kerajaan Syria.

Sementara itu, Duta Syria ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Olabi, menyatakan bahawa kerajaan berharap gencatan senjata ini dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang.

“Kami sedang bekerjasama dengan rakan kami, Amerika Syarikat (AS), untuk memastikan ia terus dipatuhi,” kata Olabi.

Utusan AS ke Syria, Tom Barrack, turut mengumumkan bahawa kerajaan Syria kini dianggap rakan utama AS dalam memerangi ISIL, menggantikan peranan yang sebelum ini dipegang oleh SDF.