PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih keseluruhan sistem prauniversiti atau Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun depan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Anwar berkata, ia bermaksud pelajar Tingkatan Enam dan matrikulasi bukan lagi pelajar sekolah tetapi sudah masuk kategori pendidikan tinggi.
"Kita juga telah mengalami sedikit kontroversi setiap tahun kerana kursus pilihan sangat terbatas dan anak-anak mengeluh tentang peluang mereka untuk mendapat tempat di peringkat universiti setelah mencatat prestasi sangat baik dalam ujian. Maka memahami keadaan ini saya telah minta universiti menambah kursus pilihan.
"Kita juga akan perkenalkan mata pelajaran umum yang telah dirombak semula di seluruh universiti awam dan swasta. Ia yang berkaitan dengan Perlembagaan dan sejarah Malaysia itu dimasukkan dalam kurikulum," ujarnya pada Selasa.
Bagaimanapun Anwar berkata, mata pelajaran tersebut tidak terlalu menekan dan membebankan anak-anak.
"Biar semua anak kita menguasai pengetahuan asas tentang Perlembagaan dan sejarah menerusi mata pelajaran umum itu.
"Sangat tidak wajar dan munasabah bagi anak Malaysia jika tidak faham Perlembagaan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan menaik taraf bilik guru di seluruh negara.
Ujarnya, peruntukan itu wajar diberikan bagi memastikan kemudahan dinaik taraf termasuk bilik guru.
"Laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini dibuka pada peringkat awal persekolahan dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan pastinya kerangkanya lebih menyeluruh dan canggih.
"Ini bermakna beban guru bertambah namun kita sedar bahawa perancangan daripada KPM untuk mengurangkan beban pentadbiran guru. Maka wajarlah setelah naik gaji kita juga pastikan kemudahan guru bukan sahaja sekolah tetapi bilik guru juga diperbaiki," ulasnya.