Bunuh warga emas: Penoreh getah terlepas hukuman gantung

Iklan
Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati atas kesalahan membunuh dua lelaki warga emas, tujuh tahun lepas. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Seorang penoreh getah terlepas daripada hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati atas kesalahan membunuh dua lelaki warga emas, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah memerintahkan Muhammad Huzairi Razali, 41, menjalani hukuman penjara 30 tahun bagi setiap pertuduhan.

Iklan
Iklan

Azman yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, turut memerintahkan Muhammad Huzairi dikenakan 24 sebatan bagi kesalahan tersebut.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam menolak pembelaan Muhammad Huzairi untuk membuktikan dia berada dalam keadaan tidak waras, selain mengesahkan bahawa sabitan terhadap tertuduh adalah selamat.

Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah membenarkan sebahagian rayuan Muhammad Huzairi berhubung hukuman, dengan mengambil kira bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara.

Justeru, Azman berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.

Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut dilaksanakan secara berasingan kerana kesalahan itu melibatkan dua mangsa dan dilakukan di tempat berbeza.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Huzairi didakwa membunuh Ku Cheng Liong@Ku Sot, 71, di sebuah kedai kopi di Jalan Abdullah Pekan Kasap, Segamat pada jam 5.50 petang, 12 Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membunuh Ng Wan Hong, 67, di hadapan kedai menjual durian di Jalan Ibrahim, Pekan Buloh Kasap, pada jam 6.03 petang hari sama.

Pada 27 Januari 2024, Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh dua warga emas terbabit.

Berdasarkan fakta kes, Muhammad Huzairi menyerang Cheng Liong dengan parang di sebuah kedai kopi, mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Muhammad Huzairi kemudian beredar ke gerai menjual durian dan menikam Wan Hong dengan parang ketika pergelutan berlaku.

Mangsa kedua pula disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Buloh Kasap akibat cedera parah.

Dalam pembelaannya, Muhammad Huzairi mendakwa tidak mengingati insiden berkenaan dan menyatakan dia mengalami masalah mental.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rafidah Zainuddin manakala tertuduh diwakili peguan Abraham Mathew. - Bernama