BUKA sahaja media sosial, ada sahaja kisah perceraian dan pergaduhan rumah tangga selebriti yang menjadi santapan umum.
Daripada pasangan yang pernah diraikan sebagai simbol bahagia, kepada konflik yang akhirnya berakhir di mahkamah dan ruang digital. Fenomena ini bukan sekadar persepsi. Data rasmi mengesahkan realiti tersebut.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, bilangan perceraian pada tahun 2024 direkodkan sebanyak 60,457 kes, meningkat 4.1 peratus berbanding 58,095 kes pada 2023.
Peningkatan itu menyebabkan Kadar Perceraian Kasar (CDR) naik kepada 1.8 pada 2024 berbanding 1.7 bagi setiap 1,000 penduduk. Lebih membimbangkan, perceraian melibatkan orang Islam meningkat 7.3 peratus daripada 44,322 kes pada 2023 kepada 47,577 kes pada 2024 (Sinar Harian, 20 November 2025).
Ironinya, apabila sesuatu kes sudah menjadi tatapan umum, kita tidak lagi boleh berharap ia kekal manis sampai bila-bila. Dalam dunia serba terbuka hari ini, perkahwinan bukan sekadar ikatan peribadi, sebaliknya berubah menjadi tontonan.
Selagi bahagia, ia diraikan dan dijadikan inspirasi. Apa yang dimiliki sebelum itu dicemburui ramai. Namun apabila emosi meletup, segalanya tersingkap.
Ruang sama turut menyaksikan sisi paling gelap sesebuah hubungan. Pada saat itu, simpati bercampur kecaman dan kebenaran sering tenggelam di tengah lautan emosi.
Hakikatnya, tiada rumah tangga yang runtuh dalam sehari. Ia retak sedikit demi sedikit, ditampal dengan sabar, disenyapkan demi menjaga nama. Namun apabila emosi yang dipendam sampai ke tahap tidak tertahan, luka lama akhirnya mencari jalan keluar.
Malangnya, hari ini jalan keluar yang menjadi pilihan ramai ialah media sosial, sidang media atau luahan terbuka, seolah-olah kelegaan hanya hadir apabila disaksikan orang ramai.
Hubungan yang awalnya berlandaskan cinta akhirnya bertukar wajah. Apa yang pernah menjadi bukti kepercayaan boleh berubah menjadi alat menekan, lebih-lebih lagi apabila pergeseran melibatkan zuriat dan harta benda.
Apabila hubungan baik, semuanya nampak ikhlas. Namun apabila bergaduh, harta benda yang pernah diberi mula dipersoalkan.
Hakikat yang sering terlepas pandang, undang-undang sebenarnya telah menyediakan perlindungan jelas kepada wanita yang diceraikan. Dalam Islam dan perundangan Malaysia, wanita berhak menuntut nafkah edah dan mutaah selagi tidak nusyuz dan tiada perintah mahkamah yang menghalang.
Hak tersebut diperuntukkan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303), antaranya Seksyen 56(1) berhubung nafkah edah dan Seksyen 58 berkaitan mutaah sebagai saguhati perceraian.
Selain itu, tuntutan harta sepencarian boleh dibuat tanpa mengira sama ada isteri bekerja atau suri rumah sepenuh masa. Sumbangan mengurus rumah tangga dan menjaga anak turut diiktiraf mahkamah.
Realitinya, proses berkenaan panjang dan menguji emosi, di sinilah ramai belajar bahawa cinta semata-mata bukan jaminan keselamatan masa depan.
Kita juga sering terlupa satu hakikat penting, yakni kamera ada harga. Harga itu ialah maruah, masa depan dan anak-anak. Bila hubungan retak, yang bersifat peribadi bertukar menjadi tontonan.
Akhirnya, jodoh bukan sekadar tentang siapa yang kita kahwini, tetapi siapa kita apabila diuji. Apabila rumah tangga runtuh, jangan jadikan ia pentas. Jadikan ia pelajaran. Kerana jodoh bukan untuk dipertontonkan, tetapi untuk dipertanggungjawabkan.
*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Rencana Sinar Plus