Raja Jordan terima undangan Trump sertai Lembaga Keamanan Gaza

Iklan
Raja Abdullah. Foto EPA

ISTANBUL - [DIKEMAS KINI] Raja Jordan, Raja Abdullah II menerima undangan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan Gaza, menurut Kementerian Luar negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa baginda telah menerima undangan itu"untuk menyertai Lembaga Keamanan, dan dokumen berkaitan sedang disemak selaras dengan prosedur undang-undang dalaman".

Iklan
Iklan

"Jordan menghargai peranan kepimpinan Presiden Trump dalam mencapai gencatan senjata di Gaza, melancarkan pelan damai komprehensif, serta usaha yang beliau lakukan untuk mencapai keselamatan, kestabilan dan keamanan," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Ali Shaath secara rasmi memulakan tugas sebagai Ketua Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) pada Ahad, dan memaklumkan tindakan pertamanya adalah menerima pakai serta menandatangani kenyataan misi jawatankuasa itu.

Iklan

Pada Jumaat, Rumah Putih mengumumkan Ahli Jawatankuasa Gaza yang akan memantau peralihan kuasa di kawasan enklaf itu, sebagai sebahagian daripada Pelan 20 Perkara Presiden Trump untuk menamatkan perang Israel di wilayah berkenaan.

Shaath merupakan bekas timbalan menteri Palestin dalam Pihak Berkuasa Palestin.

Iklan

Menurut kenyataan Rumah Putih, Lembaga Eksekutif Gaza turut diumumkan bagi menyokong tadbir urus dan perkhidmatan, yang antara lain termasuk Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan; utusan khas Trump, Steve Witkoff; menantu Trump, Jared Kushner; bekas Perdana Menteri United Kingdom Tony Blair; Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Emiriah Arab Bersatu (UAE) Reem Al-Hashimy; diplomat veteran Qatar Ali Al-Thawadi serta Ketua Perisikan Mesir Hassan Rashad.

Witkoff berkata, pada Rabu fasa kedua pelan gencatan senjata Gaza telah bermula, dengan tumpuan beralih kepada penyahtenteraan, tadbir urus teknokrat dan pembinaan semula.

Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Oktober menghentikan perang Israel yang telah mengorbankan lebih 71,000 orang dan mencederakan lebih 171,000 yang lain.


Trump undang Perdana Menteri Pakistan sertai Lembaga Keamanan Gaza

NEW DELHI - Perdana Menteri, Pakistan Shehbaz Sharif menerima undangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menyertai"Lembaga Keamanan" Gaza, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Ahad.

"Pakistan akan terus terlibat dengan usaha antarabangsa bagi keamanan dan keselamatan di Gaza, ke arah penyelesaian berkekalan terhadap isu Palestin selaras dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata jurucakap kementerian itu.

Pada Jumaat, Rumah Putih mengumumkan pembentukan"Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG)", yang disifatkan sebagai"langkah penting ke hadapan" dalam melaksanakan fasa kedua pelan Trump untuk menamatkan konflik Gaza.

Jawatankuasa itu, yang diketuai oleh Ali Shaath, seorang jurutera dan bekas timbalan menteri dalam Pihak Berkuasa Palestin, akan menguruskan hal ehwal harian wilayah berkenaan yang musnah akibat genosid oleh tentera Israel sejak Oktober 2023

Rumah Putih berkata bahawa bagi"pengoperasian visi Lembaga Keamanan", sebuah lembaga eksekutif pengasas yang"terdiri daripada pemimpin berpengalaman dalam diplomasi, pembangunan, infrastruktur, dan strategi ekonomi" telah ditubuhkan.

Ahli-ahlinya termasuk Setiausaha Negara AS Marco Rubio, utusan khas AS ke Timur Tengah merangkap hartawan hartanah Steve Witkoff, menantu Trump Jared Kushner, bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair, Ketua Pegawai Eksekutif firma ekuiti swasta New York Apollo Global Management Marc Rowan, Presiden Bank Dunia Ajay Banga, serta Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS Robert Gabriel. - Bernama