SIBU - Seorang wanita berusia 31 tahun ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran di sebuah bilik sewa di tingkat empat bangunan kedai di Sarikei, petang Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa yang menyewa bilik berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bilik air dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Menurutnya, pihak JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 4.51 petang dan sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.
"Kebakaran melibatkan sebuah bilik yang dijadikan rumah sewa di tingkat empat bangunan kedai dengan kemusnahan dianggarkan 60 peratus,” katanya dalam kenyataan malam Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis pada jam 7 malam untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7.55 malam. - Bernama