Ewon tepis kritikan berkaitan lantikan GLC

Iklan
Ewon ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, Kota Kinabalu pada Ahad.

KOTA KINABALU - Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick kekal dengan pendiriannya bahawa pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu dibuat secara seimbang iaitu antara pelantikan berasaskan politik dan profesional korporat.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri menepis kritikan dan menyatakan bahawa kenyataannya sebelum ini telah disalah tafsir susulan laporan yang dipetik daripada tajuk portal lain tanpa merujuk kepada sumber asal, sekali gus mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurut Ahli Parlimen Penampang itu, pendiriannya mengenai pelantikan GLC telah dinyatakan secara jelas melalui saluran rasmi dan tidak pernah berubah sejak awal.

"Kenyataan asal saya masih ada dan dipaparkan dalam halaman rasmi saya, iaitu pelantikan GLC perlu diseimbangkan antara pelantikan politik dan pelantikan korporat.

Iklan

"Ini penting bagi memastikan tadbir urus yang baik serta keupayaan profesional dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan," katanya semasa ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan jawatan pengerusi GLC lazimnya melibatkan wakil rakyat atau dibuat atas kapasiti tertentu, khususnya dalam kalangan menteri.

Iklan

"Jawatan pengerusi ini selalunya disandang oleh wakil rakyat dan ada pelantikan yang dibuat berdasarkan kapasiti menteri.

"Sebagai contoh, Perdana Menteri mempengerusikan Khazanah Nasional, manakala Ketua Menteri pula mempengerusikan Yayasan Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut menjelaskan bahawa di peringkat kementeriannya, usaha telah dibuat untuk mengangkat tokoh-tokoh korporat daripada pelbagai latar belakang bagi mengukuhkan peranan GLC.

"Namun begitu, semua pelantikan ini perlu melalui proses yang sewajarnya dan berlandaskan tadbir urus yang baik," ujarnya.

Sehubungan itu, Ewon sekali lagi menggesa rakan media agar berhati-hati dalam melaporkan kenyataan berkaitan isu sensitif supaya tidak mengelirukan orang ramai.

"Saya tahu apa yang saya lakukan dan saya bertanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dibuat.

"Sebab itu saya meminta rakan-rakan media mengambil kenyataan terus daripada sumber asal, bukan sekadar berdasarkan tajuk yang tidak menggambarkan kenyataan sebenar saya," tegasnya.

Sebelum ini, pelantikan Ewon sebagai Pengerusi KKIP Sdn Bhd baru-baru ini menimbulkan kritikan apabila didakwa bercanggah dengan pendiriannya sebelum ini yang mencadangkan supaya wakil korporat dilantik ke lembaga pengarah agensi berkaitan dan GLC.